Oleh Malaysia Good News | Gambar IG @cutecarry

“BATIK Malaysia perlu ada identiti dan pemahaman kepada generasi baru,” kata Perunding Imej Bertauliah, Hafiz Mustapha.

“Rakyat perlu dipupuk bangga memakai batik. Kembali ke zaman 1970an, di mana industri batik amat hebat.”

Dan kerana itu, saranan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, baru ini mengenai kod pemakaian batik di kalangan Ahli Parlimen lelaki semasa menghadiri sidang di Dewan Rakyat dilihatnya perlu direalisasikan.

“Saya sangat bersetuju,” katanya, merujuk hasrat Nurul Izzah itu termasuk untuk mengemukakan permohonan itu kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof. “Negara lain seperti Indonesia bangga dengan pakaian batik dan digayakan di pentas rasmi.”

Nurul Izzah menyatakan pandangannya itu pada program bual bicara, Agenda di saluran Awani. Dia dipetik, berkata: “Sebelum ini ia (pakai batik) tidak dibenarkan, jadi saya terbakar sedikit. Kalau di Indonesia dibenarkan, kenapa tidak di Malaysia?”

Beliau, menerusi satu entri di Facebook Nurul Izzah Anwar, pernah berkongsi pandangannya terhadap batik Malaysia sebagai khazanah negara dan berharap agar  “batik Malaysia diperkuat dan diperhebat lagi dalam usaha untuk mengangkat batik Malaysia kita di persada dunia.”

Hafiz yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Cutecarry Sdn Bhd, menerusi entri di akaun @cutecarry sebelum ini, menukilkan memang ada lelaki tidak mahu memakai batik.

“Ramai juga yang pakai batik negara luar atau baju bercorak bunga daripada Top Shop atau Zara walaupun kod telah ditetapkan batik Malaysia. Salah tu. Ada juga lelaki tidak mahu pakai batik sebab takut nampak skema sangat katanya,” jelasnya.

Ditanya bagaimana batik Malaysia yang dianggap tidak up-to-date boleh dikomersialkan, beliau berkata apa yang perlu dilakukan ialah mewujudkan penjenamaan batik Malaysia agar setaraf batik luar.

“Bagaimana batik boleh dikomersialkan? Penjenamaan dan pemahaman batik Malaysia. Berbeza negeri di Malaysia berbeza batiknya. Galakkan pengaruh selebriti dan ahli politik untuk menggayakan batik dan bukan hanya kakitangan kerajaan,” katanya.

Beliau menambah, batik juga boleh dipromosi dengan menggalakkan pemakaiannya di kalangan pelajar sekolah.

“Orang luar lebih tahu corak batik Indonesia dan Caribbean daripada batik Malaysia. Mungkin boleh mulakan dengan anak-anak sekolah memakai batik,” jelasnya.

Hafiz yang mengakui meminati batik abstrak daripada kain kapas, mengakui apa yang menjadi masalah di Malaysia kini ialah kebanyakan baju yang berada di pasaran adalah potongan yang sudah dianggap ketinggalan zaman.

Begitu pun, katanya semakin ramai pereka fesyen Malaysia yang berani bereksperimen dengan batik.

Dikongsi, empat tips daripada Hafiz “untuk tidak nampak skema waktu pakai batik”:

  • Bahan tidak semestinya satin. Boleh pakai (baju) kain kapas, lagi pun satin boleh menampakkan seseorang lebih gemuk.
  • Tidak semestinya batik lukis kerana batik cetak Malaysia juga cantik.
  • Jangan pakai baju batik yang “besar gedabak. ”Pilih yang mempunyai potongan.
  • Pakai batik bersama jaket atau blazer yang boleh menampakkan anda lebih chic.