Oleh Malaysia Good News | Gambar Jayy Production Empire

“TIADA istilah malu, asalkan halal,” kata Maria yang menjadikan pengalamannya selama tiga tahun menyanyi di jalanan untuk mengejar impiannya, terbaru mahu melihat bendera Malaysia berkibar di Hong Kong pada 22 Mac ini.

Jalanan, disifatkannya sebagai sekolah paling mencabar namun terbaik buatnya yang mula busking pada usia 19 tahun.

“Orang mungkin pandang rendah pada kemampuan penyanyi jalanan, namun itulah sekolah yang banyak mengajar saya terutama belajar membawa pelbagai genre di depan orang ramai.

“Saya biasanya menyanyikan kira-kira 40 lagu, setiap hari. Siang dan malam, saya bersama rakan buskers lain akan pergi ke beberapa lokasi tumpuan ramai. Istilah malu memang tiada dalam hidup, asalkan halal apa yang hendak dimalukan,” katanya yang ketika itu bersama Chubby Buskers.

Tiga tahun busking, penyanyi dengan nama sebenarnya, Siti Maria Ahmad Affendi kemudiannya memutuskan untuk bergerak solo dan bernaung di bawah Jayy Production Empire Sdn Bhd untuk debut dengan single Haruskah Aku.

Single itu juga antara satu daripada dua lagu yang akan dibawanya di festival yang disertai tujuh penyanyi baru Asia lain, iaitu Liu Limin dari China, Nowhere Boyd (Hong Kong), GBOYSWAG (Taiwan), Shiena Nishizawa (Jepun), Stella Jang (Korea), Jermaine Leong (Singapura), The Rube (Thailand) dan ORANGE (Vietnam).

Sebuah lagu lagi ialah Hurt, dendangan asal Christina Aguilera.

Sambil mengharapkan doa daripada rakyat Malaysia, gadis berusia 22 tahun ini yang dipilih oleh badan penilai HKAMF 2019 dengan kerjasama Persatuan Rakaman Industri Malaysia (RIM) yang bertindak sebagai perantara, menyifatkan acara ini platform untuknya mengetengahkan bakatnya, sekaligus meluaskan muzik Malaysia ke pasaran serantau.

“Kita semua tahu muzik bersifat universal dan dengan menyertai acara festival muzik yang berprestij ini, saya boleh mencari peluang dan idea baharu, sekaligus membuka jalan untuk saya dikenali di negara luar.” katany pada sidang media yang diadakan di Hard Rock Café, Kuala Lumpur, sebelum itu.

“Saya akan lakukan dengan sebaik mungkin demi mengharumkan nama negara di sana.”

Ikut memeriahkan majlis, Duta HKAMF, J Arie yang meraih Anugerah Asia Supernova pada pertandingan lalu. Selain penyanyi Hong Kong itu, juga hadir ialah pemenang Anugerah Persembahan Vokal Terbaik HKAMF 2016, Nicole Lai dari Malaysia selain Hanz Koay yang memenangi anugerah Pilihan Paling Top HKAMF 2017.

HKAMF diadakan bersandarkan format dua pusingan, di mana semua peserta perlu menyanyikan sebuah lagu sendiri mengikut pilihan sendiri dan hanya empat akan dipilih ke ke pusingan akhir bagi merebut gelaran Anugerah Supernova Asia.

Bertemakan Music in One Asia Plus yang bertumpu pada “muzik dan harmoni”, pertandingan yang diadili juri profesional, membabitkan selebriti dari negara terlibat itu juga menyediakan dua anugerah lain, iaitu, Anugerah Vokal Terbaik dan Anugerah Persembahan Pentas Terbaik.

Pemilihan bagi Anugerah Pilihan Paling Top Penonton pula berdasarkan undian penonton, di lokasi dan juga rumah.