Oleh Malaysia Good News | Gambar FB Dr Asyraf Wajdi Dusuki

JALINAN kerjasama Umno-PAS yang diumumkan secara rasminya, semalam, merupakan momen cukup bersejarah yang memperlihatkan kepada garapan penyatuan ummah yang sekian lama didambakan, terutama oleh Melayu-Islam.

Bukan bermain dengan sentimen bangsa dan agama, sebaliknya menurut Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, desakan keadaan semasa memerlukan kerjasama seumpamanya demi kebaikan rakyat dan negara.

Ia, jelasnya bermaksud memastikan kepentingan negara dan rakyat sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan, dengan Islam kekal sebagai agama Persekutuan, Melayu dan Bumiputera sebagai bangsa teras dan harus diperkukuhkan sambil menghormati kemajmukan berbilang agama dan kaum.

“Ini bukan bermain dengan sentimen bangsa dan agama. Islam adalah agama teras dan bangsa Melayu adalah bangsa teras dalam konteks negara. Kuatnya Melayu, kuatnya Islam dengan sendirinya InsyaAllah negara akan lebih kuat.

“Sudah terbukti dalam banyak lembaran sejarah apabila Islam kuat di Malaysia, kuasa Islam kuasa Melayu kuat (dan) dengan sendirinya semua agama dan semua bangsa boleh bernaung di bawahnya,” katanya semasa mengendalikan Facebook Live malam tadi, berbincang secara terbuka mengenai kerjasama Umno-Pas itu di bawah judul Agenda Penyatuan Ummah: Pandangan Anda?

Petang semalam, berlangsung mesyuarat Jawatankuasa Induk Umno-PAS, buat kali pertamanya, di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra. Ia dipengerusikan secara bersama oleh Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Selain Dr Asyraf, Umno turut diwakili Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid, juga Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Wanita, Datuk Dr Noraini Ahmad. Ikut hadir mewakili Pas, Naib Presiden, Idris Ahmad; Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan; Ketua Dewan Ulama, Datuk Dr Mahfodz Mohamad; Ketua Dewan Muslimat, Senator Nuridah Salleh dan Ketua Dewan Pemuda, Muhammad Khalid Abdul Hadi.

Dr Asyraf, menerusi satu entri sebelum berlangsungnya mesyuarat berkenaan, menegaskan apa sahaja yang dipersetujui dan direncanakan atas dasar penyatuan ummah ini tidak akan meminggirkan kepentingan rakyat bukan beragama Islam.

“Ini merupakan pertemuan yang amat bersejarah untuk meneroka garis-garis besar haluan penyatuan ummah yang bukan sahaja dituntut Islam bahkan didambakan oleh seluruh rakyat terutamanya orang Melayu-Islam.

“Bagi bukan Islam, apa sahaja yang dipersetujui dan direncanakan atas dasar penyatuan ummah ini tidak akan sesekali meminggirkan mahu pun meremehkan realiti kemajmukan Malaysia yang berbilang agama dan kaum, diterasi Islam sebagai agama Persekutuan dan Melayu sebagai bangsa teras. Moga Allah rahmati dan berkati niat suci kami ini,” katanya.

Garapan penyatuan ummah ini, jelasnya, adalah sebagai menyahut isyarat yang jelas terutama selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang memerlukan Umno dan Pas senada dalam memperjuangkan rakyat.

“Kedua pihak berasa penting untuk umat Islam bersatu dan penyatuan ummah yang melibatkan dua parti terbesar yang mewakili umat Islam. Ummah ini juga beri konotasi, bukan saja merujuk orang Melayu-Islam tapi juga bangsa lain, agama lain,” katanya mengenai kesepakatan jawatankuasa itu yang mengalu-alukan pembabitan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam, juga individu berpengaruh.

Kata Dr Asyraf, penyatuan itu pun bukan kali pertama dan pernah dijalin selepas peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

“Peristiwa hitam yang mencatat satu keadaan perkauman yang tak stabil membawa kepada kesefahaman antara dua parti, Umno dan Pas,” katanya, mengimbau Umno ketika itu diwakili mantan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein manakala Pas diterajui Tan Sri Mohamad Asri Muda.

“Kedua (parti) bersetuju membentuk satu pakatan kerjasama baru. Dulu, masing-masing bertelingkah (tapi peristiwa 13 Mei) cetus fenomena bahawa pentingnya untuk umat Islam bersatu kerana apabila bersatu, dengan sendirinya jadi satu tunjang kepada kestabilan, keharmonian negara.”

Di dalam respons kepada satu panggilan video oleh seorang mahasiswa dikenali sebagai Naim berhubung isu PTPN dan polisi penggantian kepada biasiswa yang telah diubah, beliau memberi jaminan untuk segera berbincang dengan Pemuda Pas bagi menangani masalah dihadapi anak muda.

“Saya tak faham, apabila Pakatan Harapan (PH) jadi kerajaan (mereka) jadi mati rasa,” katanya. “Dulu sanggup berguling, hasut mahasiswa kata kita (kerajaan Barisan Nasional) zalim.”

Ditanya apakah penyatuan itu akan menyebabkan parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA dan MIC bertindak keluar parti, Dr Asyraf berkata satu majlis penerangan akan diadakan Jumaat ini, jadi soal itu tidak timbul walaupun mereka mengakui terkilan dengan kenyataan pemimpin tertentu daripada Umno.

“Kenyataan mengguris hati itu, seolah (MCA) tiada peranan dalam konteks BN. Alasan mereka ada asasnya tapi jangan cepat buat keputusan, dalam keadaan marah jangan buat keputusan apa-apa. Tak timbul soal nak keluar (BN). Tak perlu kita bubarkan sesiapa.

“MCA ada peranan dia (walaupun) nampak orang Cina seolah tak meyakini. Ini mungkin fenomena sementara kerana bangsa Cina banyak dipengaruhi dakyah dan tohmahan fitnah DAP, digulakan dengan bulan dan bintang tapi akhirnya (masyarakat) Tionghua, India mahukan negara yang stabil, aman, ekonomi akan dipacu dengan lebih hebat. Baik duduk berbincang,” katanya.