Oleh Zurina Waji

SUKA atau tidak, pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus mengakui keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, kelmarin adalah amaran mengejut daripada rakyat, terutamanya pengundi Melayu.

Penganalisa politik dan ekonomi, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, berkata selepas hampir 10 bulan mengambil alih tampuk pemerintahan, PH disifatkan gagal menangani isu-isu membabitkan orang Melayu, sebelum ini.

“Lokaliti DUN Semenyih terletak di kawasan semi urban dan populasi pengundi Melayu ialah 69.2%.”

“PH gagal menangani isu-isu melibatkan orang Melayu, sebelum ini sekaligus PRK ini merupakan amaran mengejut pengundi bahawa mereka mempunyai kuasa untuk menentukan siapa yang boleh membawa aspirasi dan suara Melayu,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK DUN Semenyih dimenangi BN dengan majoriti 1,914 undi.

Calon BN, Zakaria Hanafi memperolehi 19,780 undi berbanding calon PH, Muhammad Aiman Zainali (17,866) selain calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul (847) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng yang juga dikenali sebagai Uncle Kentang (725).

PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mohd Bahtiar Mohd Nor daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke14 lalu, Mohd Bahtiar beroleh 23,428 undi berbanding (BN) Datuk Johan Aziz, 14,464; (Pas) Mad Shamour Mad Kosim, 6,966 manakala (PSM) S Arutchelvan, 1,293.

Dr Mohammad Tawfik yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pentadbiran & Politik, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (UM) dan merupakan antara pemerhati bagi PRK DUN Semenyih, berkata keputusan yang memihak kepada BN itu sememangnya sudah dijangka.

Dr Mohammad Tawfik (Kiri) bersama kumpulan Pemerhati SPR pada PRK Semenyih lalu. Gambar FB Mohammad Tawfik Yaakub

Keputusan PRK Semenyih, jelasnya telah dijangka oleh pasukan penyelidikan dan pemerhati rasmi SPR daripada UM yang diketuainya, lima hari sebelum PRK, di mana pihak kumpulan penyelidikan dalam dapatan soal selidik dan temubual lapangan telah mendapat respons kecenderungan sokongan pengundi Melayu kepada calon UMNO.

“Pengundi-pengundi Melayu yang ditemubual menjelaskan secara terbuka mereka sebelumnya menyokong calon PH dalam PRU14 lalu.

“Namun, kegagalan kerajaan PH menangani isu melibatkan kepentingan orang Melayu (mempengaruhi undi) seperti perlantikan jawatan penting bukan Melayu dalam kerajaan, kos sara hidup dan peluang kerja yang masih gagal ditangani dan kegagalan menunaikan manifesto serta dasar u-turn oleh kerajaan,” katanya.

Jelas Dr Mohammad Tawfik lagi, keputusan pada PRK Semenyih itu juga memperlihatkan bahawa pengundi kini lebih cerdik dalam menentukan sokongan untuk kepentingan mereka.

Baik PH mahu pun BN, menurutnya apa yang perlu dipelajari menerusi situasi semasa ini ialah: “Pengundi adalah ‘raja’, parti adalah ‘hamba.’ Jika isu rakyat dan pengundi gagal ditangani, mereka mempunyai pilihan di peti undi.”

Ditanya apakah banyaknya politiking oleh PH yang berterusan menyalahkan pentadbiran lalu sebagai antara penyebab kekalahan PH, beliau tidak menafikannya.

“Ya, rakyat masih terbeban dengan pelbagai masalah kehidupan seperti kos sara hidup yang tinggi dan kerajaan PH masih dalam mood menyalahkan pentadbiran lama.

“Ini tidak bagus, meskipun kerajaan PH tidak mempunyai pengalaman mentadbir kerajaan Persekutuan, namun ini bukan alasan untuk melengahkan pembaharuan. Realitinya, Malaysia perlu melihat hal ini dengan segera kerana jentera perkhidmatan awam bukan sepenuhnya cenderung kepada parti pemerintah meskipun berprinsip berkecuali,” katanya.

Seperkara yang tidak boleh diketepikan juga, menurutnya, ialah penjenamaan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dengan #maluapabossku di tengah kes penyelewengan, termasuk membabitkan 1MDB yang dikaitkan dengannya.

Tagline ini memberi implikasi penjenamaan yang besar kepada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya. “Rakyat Malaysia lebih gemar memilih jenama berbanding kualiti, inilah yang berjaya dilakukan oleh pasukan Najib menghegemoni pemikiran masyarakat, khususnya kebanyakan pengundi di DUN Semenyih.”