Oleh Malaysia Good News | Gambar U Mobile

IA adalah pengesahan pada keupayaan Mitski untuk memeluk emosi penggemar muziknya.

Nobody, lagu balada disko yang diinspirasi daripada percutiannya di Kuala Lumpur, lewat Krismas lalu, yang meraih lebih 10 juta putaran di Spotify memperlihatkan perasaan yang dibenam di dalam karyanya melangkaui sempadan.

Dan apabila dia kembali ke kota ini, Februari baru ini, sempena jelajah Mitski Live in KL 2019, ia jelas mencatat kenangan bermakna.

Dibawakan oleh U Mobile dan Upfront, penyanyi indie rock ini dengan nama sebenar Mitski Miyawaki telah memukau lebih 300 penggemar muzik dalam satu persembahan di The Bee, Publika, mendendangkan lebih 10 lagunya.

Senarai lagu, termasuk single Geyser yang dimuatkan di dalam album terbarunya, Be The Cowboy. Mula dikenali selepas Puberty 2 pada 2016, dia turut membawakan Francis Forever, Two Slow Dancers dan Your Best American Girl selain Nobody.

Baik audiens mahu pun Mitski sendiri, ia mungkin persembahan yang agak peribadi. Bukan saja kerana Nobody, malah disebabkan penyanyi berdarah Jepun-Amerika itu rupanya pernah menghabiskan masa kecilnya di Kuala Lumpur.

Ia tentunya memahat kenangan indah sehingga dia berkongsi mengenainya di antara persembahannya yang memperkukuhkan lagi namanya dalam scene indie semenjak kelahiran Be The Cowboy, tahun lalu yang disifatkan paling eksperimental dalam meneroka palet muzikalnya.

Cukup untuk meraih perhatian pengkritik, termasuk tempat ketiga dalam senarai 10 Album Terbaik oleh majalah Time.

Di pentas, malam itu, Mitski berkongsi bagaimana rasa kesunyian yang dialaminya melahirkan Nobody.

“Saya kesunyian,” katanya, mengimbas sambutan Krismasnya, ketika itu. “Saya tidak mempunyai alatan muzik bersama, jadi saya ke Suria KLCC dan membeli sebuah piano mainan di Toys ’R’ Us. Saya menghasilkan Nobody di piano mainan.”

Mitski yang sebelum ini menjelajah Amerika Utara selain Australia, turut meraih perhatian penyanyi terkenal seperti Lorde untuk mengundangnya beraksi sama, selain Iggy Pop yang menyifatkannya sebagai “penulis lagu Amerika paling ke hadapan pernah saya temui.”

Persembahannya di Kuala Lumpur ini adalah sebahagian daripada inisiatif Unlimited Grooves oleh U Mobile. Ia juga merupakan sebahagian daripada jelajah Asianya yang merangkumi Jepun, Korea, Taipei, Indonesia dan Singapura.