Oleh Zurina Waji | Gambar Fauzi Hamid

KEKANGAN perkauman dan ekonomi merencatkan usaha pentadbiran kerajaan PH mencapai prestasi baik sebagaimana diharapkan rakyat yang semakin resah dibelenggu politik perut yang boleh mempengaruhi penentu dalam hala tuju negara, terutama berhubung masa depan pemerintah sedia ada.

Penganalisa ekonomi dan politik, Dr Mohammad Tawfiq Yaakub, berkata kegusaran masyarakat diperlihatkan apabila harapan yang digambarkan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 belum ditunaikan sepenuhnya oleh PH walaupun selepas 10 bulan mengambil alih pentadbiran negara.

Beliau, sambil merujuk isu seperti PTPTN dan pengawalan harga barangan, berkata keadaan itu menuntut PH untuk melihat perlunya ada ketetapan dalam dasar kerana bagaimana penguatkuasaan hendak dijalankan seandainya kerajaan sendiri tiada dasar begitu kukuh yang berupaya menguatkuasakan peraturan sepenuhnya.

“Di Malaysia hari ini, rakyat terbelenggu dengan politik perut. Maksud politik perut, apa-apa berkaitan dengan kekenyangan rakyat, ekonomi rakyat, itulah merupakan penentu kepada hala tuju negara, masa depan pemerintah sedia ada,” katanya yang juga merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Pentadbiran & Politik, Fakulti Ekonomi & Pentadbiran, Universiti Malaya.

“Jadi jangan main-main dengan kuasa rakyat. Bila rakyat berasa lapar, tiada peluang kerja, tiada lagi sumber-sumber yang boleh membantu kehidupan sehinggakan rakyat tertekan dengan situasi ekonomi negara, maka rakyat akan bangun dan menggunakan saluran peti undi untuk menyatakan porotes kepada pemerintah.”

Sepuluh bulan bagaimanapun, katanya adalah tempoh yang singkat dan tidak adil kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu dinilai sebegitu sedangkan Barisan Nasional (BN) sudah memerintah selama 61 tahun.

Kerajaan PH, tegasnya, perlu diberi masa untuk mengimplementasi dan melaksanakan dasar, manifesto dengan lebih terbuka, lebih masa dan peluang, dan tempoh tiga tahun yang dinyatakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini, adalah tempoh sesuai walaupun bukan matang, bagi memperbaiki dan menjana semula ekonomi.

Ini kerana, katanya kita bukan mewarisi satu ekonomi yang mantap walaupun maklumat berbeza diberikan sebelum PRU14 yang bukan saja menyaksikan kemenangan PH, malah mendedahkan banyak masalah, misalnya 1MDB dan terbaru, skandal dalam institusi kehakiman negara.

“Dari segi dasarnya, kerahsiaannya, polisi kerajaan yang diwarisi kerajaan hari ini perlu dipelajari Pakatan Harapan kerana mereka tidak pernah ambil alih Kerajaan Persekutuan, ini kali pertama. Banyak perlu dibelajar, penstrukturan semula tidak boleh berlaku dalam sekelip mata,” katanya.

Dr Mohammad Tawfiq, berkata langkah awal yang boleh diambil PH ialah melihat semula dasar-dasar sebelum ini, apakah ia membebankan negara atau sebaliknya untuk dinilai sama ada ia boleh diteruskan atau diperbaiki.   

“Adakah (dasar) membantu rakyat atau pun sebenarnya membebankan kewangan negara,” katanya, merujuk pemberian BR1M misalnya, biarpun tidak dipersetujui Tun (Dr Mahathir), ia dirombak dan diperkenalkan dengan nama baru demi membantu menaikkan taraf ekonomi rakyat supaya tidak tertekan lagi.

“Jadi nak memecahkan tradisi pentadbiran negara sebelum ini makan masa yang panjang. Nak perbaiki kelemahan pentadbiran juga makan masa yang panjang. Saya setuju ruang tiga tahun sesuai tapi belum mencapai ruang yang matang.”

Katanya, golongan muda yang digelar “Generasi Z” atau “Generasi Klik”, sungguhpun sering dianggap tidak sabar kerana sentiasa berkehendakkan keputusan cepat perlu dibabitkan kerana ada perspektif berbeza, selain menjadi penggerak masyarakat menerusi perkongsian maklumat dan boleh memberi reaksi segera terhadap dasar-dasar kerajaan.

Sambil menyifatkan Malaysia masih dalam tempoh peralihan pentadbiran, Dr Mohammad Tawfiq melihat pertembungan antara seorang Perdana Menteri lanjut usia seperti Dr Mahathir yang berumur 93 tahun dan Generasi Z dalam lingkungan 20an yang lebih terbuka dalam memberi pandangan dan idea.

“Tun hari ini tidak sama dengan Tun sebelum ini. Dulu dikelilingi perspektif perkauman, tapi Tun hari ini Tun yang berbeza,“ katanya. “Tun hanya ambil alih buat sementara pentadbiran negara dan saya pasti lepas ini Tun akan ada strategi baru untuk mencari pengganti, belum tentu lagi Datuk Seri Anwar (Ibrahim) akan jadi Perdana Menteri, mungkin Datuk Seri Azmin (Ali) boleh menjadi Perdana Menteri atau pun Datuk Seri Mukhriz (Mahathir) dan Tun akan melihat persepektif anak muda ini untuk menerajui negara.“

Jelasnya, 16 ahli dalam Majlis Tindakan Ekonomi (MTE), termasuk Profesor Jomo Kwame Sundaram, Pengarah Urusan Public Bank, Tan Sri Tau Ah Lek dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dr Hasnita Hashim, sesuai pengalaman luas badan itu membantu masyarakat Bumiputera, dilihat mempunyai nilai-nilai serta elemen-elemen individu yang sesuai untuk mengolah dasar, membincangkan idea bagi menyokong rencana pemulihan ekonomi negara.

MTE ditubuhkan bagi memberi peluang kepada rakyat untuk mengemukakan idea dan pendapat. Dipengerusikan Perdana Menteri sendiri, ia bertindak meneliti dan membuat keputusan berdasarkan hal ehwal ekonomi, kewangan serta kebajikan rakyat, selaras matlamatnya bagi merancak dan merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan, pengagihan kekayaan yang saksama serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Dr Mohammad Tawfiq, berkata apa yang perlu diberi perhatian oleh MTE ialah bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda berasaskan bidang masing-masing, selain keusahawanan dan tidak terlalu bergantung untuk makan gaji.

“Anak muda perlukan dasar, di mana kerajaan boleh membantu beli rumah dengan harga RM300,000, RM400,000 (tapi) peluang kerja pun terhad macam mana nak beli rumah,“ katanya, seraya menyarankan kerajaan memperkenalkan idea membina dulu rumah sebelum dijual.

“Rakyat perlu perumahan, perlukan kerja, perlukan keselesaan. Ini berkaitan politik perut, jika keselesaan ekonomi tiada, jika rakyat diganggu kehidupan mereka, saluran undilah mereka akan gunakan yang boleh dilihat pada Pilihan Raya sebelum ini, rakyat telah membuktikan itulah kuasa mereka untuk menentukan masa depan kerajaan.”

Dalam membangunkan semula ekonomi, menurutnya Dr Mahathir dilihat cenderung menjadikan Jepun model terbaik untuk diikuti Malaysia, malah meminjam untuk membaiki kewangan negara.

“Meskipun masyarakat Malaysia hari ini telah ketinggalan daripada beberapa aspek, misalnya disiplin seperti Jepun, bagaimana membina hubungan keluarga yang hebat seperti di Jepun, menyantuni masyarakat seperti di Jepun. Namun saya lihat Tun ambil satu pendekatan yang tepat, pergi ke Jepun dulu kemudian bawa pulang nilai-nilai tersebut untuk membangunkan masyarakat, ekonomi berdasarkan perspektif Jepun,” katanya.

Ini bermakna, pembangunan perlu selaras dengan hubungan kemanusiaan dan keunikan Malaysia dengan sistem pemerintahannya yang bersandarkan pada raja berpelembagaan dan demokrasi berparlimen, juga kepelbagaian budaya dan hubungan baik antara kaumnya dimanfaatkan bagi memandu masa depan negara ini jadi lebih harmoni.

Jadi, adakah pentadbiran PH diyakini mampu memacu ekonomi Malaysia dalam keadaan mendesak ini?

Dalam konteksi Malaysia Baru, jelasnya media teknologi seperti telefon bimbit yang diguna bagi penyebaran maklumat sekiranya digunakan secara positif akan menggalak perubahan yang lebih positif dan sebaliknya, apabila diguna bagi tujuan negatif hanya akan menyekat usaha meraih pencapaian hebat buat Malaysia dan masyarakatnya.

“Kita masih baru, kita perlu bagi ruang dan peluang untuk kerajaan baru. Ada empat tahun lebih lagi untuk beri peluang kepada pentadbiran Pakatan membaiki kelemahan yang ada, bukan kelemahan pentadbiran Pakatan saja tapi juga pentadbiran sebelum ini,” katanya.