Oleh Malaysia Good News

BUKAN cuma gangguan secara fizikal, malah perbuatan mengintai dan menghendap yang dilakukan menerusi pesanan ringkas di telefon bimbit dan media sosial akan dijadikan sebagai satu kesalahan bagi melindungi wanita.

Atau, dalam bahasa jalannya, kaki skodeng.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata rang undang-undang (RUU) mengenainya dijangka dibentang kepada Jemaah Menteri di Parlimen bagi persetujuan dan kelulusan, seawal Julai ini.

“Bagi sesi persidangan (Parlimen) Mac mungkin tidak sempat kerana terlalu suntuk, tapi kita melihat kemungkinan Julai dan Oktober,” katanya yang kini sedang meneliti draf RUU berkenaan sebelum dibawa kepada Jabatan Peguam Negara untuk semakan.

“Ini adalah undang-undang mengenai stalking, mengintai dan menghendap.”

Beliau, memetik kenyataannya kepada media selepas persidangan Rantau Asia “Kepimpinan Politik Wanita: Mewujudkan Perubahan Positif” di bangunan Parlimen, semalam, menegaskan undang-undang itu adalah satu bentuk pencegahan sebelum berlakunya jenayah.

Pesalah intai dan hendap, menurut Liew, perlu dipandang serius apabila mengambil kira adanya kajian yang mendapati mangsa yang mengalami pelbagai tekanan, mungkin kerana diintai dan dihendap dalam tempoh lama ada kecenderungan tinggi untuk membunuh diri.

Ini kerana, katanya undang-undang berkaitan ugutan jenayah atau serangan yang diguna pakai selama ini memerlukan pesalah menyentuh, menggugut dan menyerang mangsa terlebih dulu sebelum tindakan boleh diambil ke atasnya.

Sedangkan mangsa pula perlu mengemukakan klip video sebagai bukti ada berlaku kesalahan jenayah.

“Kadang apabila wanita dikejar, dia tidak dapat rakam. Jadi dia pergi kepada polis dan polis akan kata tiada keterangan kukuh untuk ambil tindakan. Dia akan kata, adakah dia (suspek) sentuh, tidak ada. Adakah dia pukul, tidak ada. Tetapi anda tahu apabila anda kena intai atau hendap, ketakutan anda dalam fikiran.

“Mereka boleh guna telefon bimbit (lewat) WhatsApp, media sosial untuk beri tekanan kepada mangsa. Jadi, dengan adanya undang-undang ini kelak, tidak payah tunggu sampai dia sentuh, pukul atau melakukan sesuatu terhadap wanita atau individu tersebut. Sekiranya dilakukan kerap, polis boleh ambil tindakan,” katanya.

Dia menambah, jika tidak dibendung pelaku yang sudah mengintai dan menghendap mungkin bertindak lebih ganas.

Oleh itu, katanya perlu ada undang-undang bagi menjaga keselamatan golongan wanita dan bukannya menunggu sehingga keganasan berlaku sebelum mahu bertindak.