Oleh Malaysia Good News | Gambar Ihsan Perfect Plan

DI keraian kali ke-10 penganjurannya pada 3 Mac ini, festival Holi terbesar Malaysia kembali dengan hampir sembilan jam acara penuh keceriaan dan lebih banyak kejutan menanti!

Dianjurkan Perfect Plan, festival yang membawa maksud keraian warna atau cinta itu yang bermula jam 11 pagi di Tempat Letak Kereta Terbuka KL Sentral dijangka meraih kehadiran tidak kurang 5,000 penyertaan, termasuk pelancong asing.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kavita Sailesh, berkata acara berkenaan adalah antara yang dinanti-nantikan ramai terutama selepas penganjuran tahun lalu yang mendapat pengiktirafan Malaysian Book of Records.

“Tahun 2018 merupakan pencapaian terbaik Perfect Plan apabila festival ini berjaya menarik kehadiran 7,470 orang yang turut mendapat pengiktirafan Malaysian Book of Records sebagai festival Holi terbesar di Malaysia pernah dianjurkan.

“Oleh itu, sempena penganjurannya yang ke-10 , tahun ini, jangkaan lebih tinggi diletak dan kami yakin sambutan lebih hangat akan diberikan, apatah lagi pelbagai program menarik disusun untuk tahun istimewa ini,” katanya.

Festival Holi yang berasal dari wilayah di India dan kini diraikan di seluruh pelusuk dunia, menandakan bagaimana kebaikan mengatasi kejahatan. Ia juga sebagai meraikan kedatangan musim bunga dan berakhirnya musim dingin.

“Ia juga kesempatan untuk menjalin hubungan dan membaiki pertalian yang terputus, hari untuk kita menikmatinya dalam suasana ceria, melupakan kesilapan lalu dan saling memaafkan. Kala serbuk warna ditebar, ia juga merupakan matlamat Holi Malaysia yang cenderung membibitkan kesamaan dalam kepelbagaian, melihat keunikan kuasa warna yang berupaya menyatukan pelbagai budaya.

“Ini bakal menjadi acara yang dipenuhi dengan kasih, warna, muzik dan tarian,” kata Kavita lagi yang juga merupakan pengasas Perfect Plan bersama Elvinjit Singh Gill. Selain pelbagai aktiviti berasaskan muzik dan hiburan, pihak penganjur juga menyediakan hadiah percuma kepada pengunjung bertuah.

“Setiap tahun, kami membuat penambahbaikan untuk penganjuran Holi Malaysia dan ada saja kegiatan berbeza diadakan bagi mewujudkan suasana ceria, sesuai dengan matlamat festival yang menjadikan budaya sebagai platform bagi menyatukan semua, tanpa sempadan.”

Jadi, apa lagi? Beli sekarang sehingga 1 Mac ini untuk mendapatkan tiket berharga hanya RM15 seorang dengan menghantar pesanan WhatsApp ke 012-3410816. Bagi kanak-kanak berusia di bawah lima tahun, masuk adalah percuma. Satu pek serbuk warna juga akan diberikan percuma bagi setiap pembelian.

Selepas 1 Mac, tiket hanya boleh didapatkan di kaunter masuk sehingga pada hari berlangsungnya festival iaitu RM20.

Hadir dan saksikan sendiri bagaimana kuasa warna menyatukan semua.