Oleh Malaysia Good News | Gambar @drsheikhmuszaphar

ANGKASAWAN Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha, 46,  telah dicabar menerusi satu entri di Facebook, menggunakan nama Mosus, supaya bersumpah bahawa “Bumi ini bulat sfera. NASA bercakap benar” untuk dia “tolong dakwah kepada kelompok FE supaya insaf.”

FE atau flat earth, merujuk teori bumi leper oleh golongan tertentu mengenai keadaan bumi.

Soalnya, siapa Mosus ini?

Ah, kononnya penyanyi nasyid yang bernama Suhaimi Saad.

Seraya menggelar netizen sebagai “b*d*h”, kecaman daripada pemilik akaun itu dan sikap defensif yang dipamer sebaliknya telah merungkai beberapa persoalan berhubung rahsia cakerawala menerusi perkongsian Dr Sheikh Muszaphar di Instagramnya.

Jawapan diberikan angkasawan itu yang juga merupakan seorang doktor bedah ortopedik, menyerlahkan perbezaan antara seorang lelaki budiman berbanding mereka yang barangkali, bercakap dengan akal di lutut.

Tanpa menyahut cabaran bersumpah mahu pun menujukan kepada sesiapa, Dr Sheikh Muszaphar memberitahu keadaan bumi berbentuk geo-sfera, selain tertumpu di kutub dan membonjol di garisan Khatulistiwa sambil menegaskan ia “bukan seperti bola, lebih berupa sebiji telur.”

View this post on Instagram

Pic – Is the Earth flat ? Hati ini terdetik untuk menjawab desas desus mengenai persoalan di atas … Sebagai Angkasawan Islam yang ke 9 menerokai angkasa lepas , adalah menjadi tanggungjawab untuk diri ini menceritakan fakta sebenar … Mengelilingi Bumi sebanyak 16 kali sehari Setiap 45 minit matahari terbit dan terbenam Mengelilingi Orbit dengan kelajuan 27000km/hr Laungan Azan kedengaran seketika Bibir terkumat kamit terpegun dengan kebesaran Illahi Melihat Bumi dengan mata sendiri Degupan jantung berhenti seketika Meremang Bulu Roma Mata tidak terkebil Melihat Kebesaran Maha Pencipta Amat sukar untuk digambarkan suasana di angkasalepas … Bergetar jiwa sepanjang 12 hari di sana MasyaAllah …SubhanAllah … And the Earth is spherical in shape . Geosphere to be exact . Squashed at the poles and bulged at the Equator . Not like a ball but more to an egg . Every human being should go to space if given the opportunity . It changes your perspective on life as a whole . It makes you a true believer on the Creator The experience is truly amazing and spectacular. It’s hard to change the minds of the flat-Earth believers But here I am sharing you my experience of what I have seen . In the name of Allah it comes from my heart Salam Jumaat Everyone … Semoga mendapat Barakah semua . Amiinn … Love As Always … PS – Just wanted to straighten the facts !

A post shared by Dr Sheikh Muszaphar Shukor (@drsheikhmuszaphar) on

Jelasnya, sukar untuk mengubah fikiran golongan yang mempercayai bumi ini leper namun beliau hanya mahu berkongsi pengalaman berdasarkan apa yang dilihatnya yang disifatkan cukup menakjubkan dan menjadikan seseorang benar percaya kepada Sang Pencipta.

Ini 13 Fakta berkaitan Dr Sheikh Muszaphar yang perlu anda tahu:

  • Merupakan angkawasan pertama Malaysia dan Islam ke-9 menerokai angkasa lepas. “Sultan bin Salman(Sultan Salman Abdel Aziz Al-Saud) dari Arab Saudi pada 1985,” katanya, menjawab soalan pemegang akaun @azryazmi mengenai angkasawan Islam pertama.
  • Graduan Kolej Perubatan Kasturba di Manipal, India ini juga adalah orang Islam pertama menjalani ibadah puasa dan berLebaran di angkasa lepas. Buku panduan, Pelaksanaan Ibadah di International Space Station, ISS (Stesen Angkasa Antarabangsa) diterbitkan Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia pada April 2007 sebagai panduan untuk mengerjakan ibadah di angkasa lepas.
  • Anak jati Kuala Lumpur ini adalah calon terakhir daripada 11,275 rakyat Malaysia yang memohon ketika tawaran dibuka pada 2003, sebelum pemilihannya diumumkan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2007 ketika negara meraikan kemerdekaannya yang ke-50.
  • Program angkasawan negara itu, menurut laporan Utusan Malaysia, adalah persetujuan timbal balik pembelian 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM bernilai RM3.4 bilion dari Rusia yang ditandatangani pada 5 Ogos 2003.
  • Laman web www.mara.gov.my menyebut dia menaiki Soyuz TMA-11 ke angkasa, menjalankan eksperimen berkaitan sel-sel kanser hati, sel-sel leukemia dan berkaitan mikrob serta penghabluran protein, membabitkan enzim lipases ketika berada di ISS.
  • Sebagai pelajar Maktab Rendah Sains Mara, Muar, anak ketiga daripada lima beradik ini belajar “hidup berkeluarga, tidak mengira pangkat mahu pun kekayaan. Setiap pelajar dianggap sama rata dan kami sering bantu membantu di antara satu sama lain untuk mengejar impian hidup.”
  • Dia, menerusi entri di Instagramnya, berkongsi ceritanya berada 12 hari di angkasa lepas yang disifatkan sebagai pengalaman yang “bergetar jiwa.”
  • Mengelilingi bumi sebanyal 16 kali sehari, melihat matahari terbit dan terbenam setiap 45 minit dan mengelilingi orbit dengan kelajuan 27,000 km sejam.
  • Dia selamat mendarat di bumi berdekatan bandar Arkylk di Kazakhstan yang dikenali sebagai Space Drop Zone bersama dua angkasawan Rusia, Fyodor Yurchikhin dan Oleg Kotov pada 21 Oktober 2007.
  • Dia baru selesai menjalani pemulihan di Pusat Latihan Kosmonaut Gagarin di Star City, Rusia apabila diberitakan mengenai kematian adiknya, Sheikh Mustafa Al Masrie, 32, yang koma ekoran hentakan di kepala selepas terjatuh di depan sebuah restoran di Kuala Lumpur.
  • “Apabila saya ke angkasa lepas, saya menemui hidup saya. Tapi apabila saya kembali, saya kehilangan orang yang dikasihi,” katanya, memetik kenyataan yang disiarkan akhbar The Star pada 28 Oktober 2007. “Tapi saya anggap ini adalah ujian Tuhan bahawa Dia mahu melihat bagaimana saya menghadapinya. Saya tidak ada rasa kesal kerana pergi ke angkasa lepas dan kehilangan ini adalah suatu yang saya harus hadapi.”
  • Entri di Instagramnya banyak menyentuh mengenai tanda kebesaran Yang Maha Esa apabila menukilkan bahawa “Laungan azan kedengaran seketika. Bibir terkumat kamit terpegun dengan kebesaran Ilahi.”
  • Saat melihat bumi dengan mata sendiri, dia mengakui amat sukar untuk menggambarkan suasana di angkasa lepas. Jelasnya, “Degupan jantung berhenti seketika. Meremang bulu roma. Mata tidak terkebil. Melihat kebesaran Maha Pencipta.”