Oleh Malaysia Good News | Gambar FB Najib Razak

Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyedari kuasa media sosial dan nyata, dia benar-benar memanfaatkannya.

Dan apabila beliau turut diseret dalam kontroversi ijazah palsu apabila seorang demi seorang barisan kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dipertikaikan kelulusan mereka, apa yang dilakukannya?

Ya, dia memaparkan gambar graduasinya sebagai profil di Facebook Najib Razak yang sehingga kini mempunyai seramai  3.74 juta pengikut.

“Agak old school tapi inilah foto dari majlis graduasi saya pada tahun 1974,” begitu barisan  ayat yang mengiringi sekeping gambarnya yang mengenakan persalinan seorang graduan, diapit adik, Datuk Ahmad Johari dan ibu, Toh Puan Rahah Mohamad Noah.

Frasa seperti “malu apa bossku” menjulang popularitinya yang juga merupakan anak sulung Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Ironinya, di sebalik skandal yang menyelubungi itu telah menyerlahkan pula sisi lucunya, santai berdepan satu-satu isu walaupun sinis dalam berbahasa.

“Masa itu, saya nampak cool sebab trend masa itu di England memang berambut panjang.

“Ok, saya mengaku saya juga terpengaruh masa itu,” tambahnya.

Foto berkenaan dikongsi berikutan keraguan mengenai kesahihan ijazahnya yang disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP, Chong Zhemin, merujuk video yang berlegar dalam talian dengan mendakwa Najib gagal menamatkan pengajiannya semasa menuntut di University of Nottingham.

Najib berusia 21 tahun ketika dia memperolehi ijazah dalam Ekonomi Industri pada 1974.

Sama ada anda suka atau membencinya, seperkara harus diakui ialah keupayaannya memanipulasi dunia maya bagi mengatur semula kedudukannya yang dipalit skandal, antaranya 1MDB yang membabitkan wang berjumlah RM2.6 bilion.

Semalam, melalui paparan sama, beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada anaknya, Ashman.

“Ashman habiskan masa hampir satu jam untuk mencari gambar-gambar yang sudah berusia 45 tahun ini dari rumah bonda saya,” katanya.

Dan serahkan kepada Najib untuk mencetuskan kelucuan sinis yang sering dilihat menyakitkan hati pihak lawan.

“Kalau DAP masih tak percaya dan ingin fitnah saya lagi, boleh pinjam mesin masa kawan Menteri Kewangan untuk balik ke tahun 1974 cari saya,” katanya.

Di antara hampir 6,000 komen terhadap paparan yang disifatkan menghiburkan itu, pemilik akaun Emi Emi yang merujuk gambar berusia 45 tahun itu, melahirkan keterujaannya dengan berkata, “sekali pandang macam hero Hindustan bossku.”

Ada juga komen yang mengaitkan penampilan Najib dengan muzik dan band British pada era 70an, antaranya pemilik akaun Mohd Nasir yang menyifatkan “ni mesti hardore The Beatles ni… time tu kira macam Oasis la bosskur.”

Dan tidak kurang yang menyimpulkan Najib sebagai seorang nerd yang dianggap legenda sebenar.