Oleh Malaysia Good News | Gambar @sepangcircuit www.formula1.com

LITAR Lumba Sepang (SIC) mungkin akan bergema kembali dengan deruman enjin kereta Formula Satu (F1).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memulakan evolusi dalam sukan permotoran moden telah melahirkan harapan supaya Malaysia dapat terus melahirkan lebih ramai bintang dalam sukan permotoran, bukan saja pelumba malah jurutera.

Oleh itu, beliau berharap agar Malaysia Grand Prix dapat kembali dianjurkan di negara ini.

“Malaysia kini bukan hanya melihat kepada perlumbaan sahaja, tetapi juga bidang kejuruteraan. Wang yang dibelanjakan untuk membina litar (SIC) telah digunakan sebaiknya,” katanya selepas  menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di Anugerah Sukan Permotoran Petronas SIC – Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) 2018 di Kuala Lumpur, malam tadi.

“Saya berharap F1 akan kembali satu hari nanti.”

Dr Mahathir adalah pencetus kepada industri automotif negara dengan mengilhamkan pengeluaran kereta nasional, seterusnya menginspirasi rakyat Malaysia untuk menceburi sukan permotoran menerusi pembinaan SIC pada 1999 bagi memperkenalkan F1.

SIC digunakan bagi penganjuran perlumbaan F1 sebelum dihentikan pada 2017 apabila minat terhadap sukan berkenaan di sini dikatakan telah menurun, selain kos tinggi yang terpaksa ditanggung.

Penerima pertama Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat ini, mengakui tidak pernah menyangka Malaysia akan mempunyai litar perlumbaannya sendiri yang bertaraf dunia, apatah lagi melihat sukan permotoran berkembang sebegini rupa.

“Saya masih ingat ketika berkunjung ke Estoril, Portugal yang menginspirasi saya untuk mempunyai trek sama di Malaysia,” katanya. “Saya tidak terfikir ia akan menarik 10,000 hingga 20,000 orang ke trek ini. Saya melihat penerimaannya amat baik, bukan saja untuk menonton perlumbaan tetapi juga menyertai perlumbaan dan sebagai jurutera sendiri.

“Saya harap perlumbaan (di Sepang) akan diteruskan di masa depan dan juga berharap Formula Satu akan kembali kepada kegemilangannya.”

Sepang, buat masa ini menganjurkan MotoGP yang akhir ini, telah meraih minat penggemarnya. Jika perlumbaan F1 memperkenalkan pelumba seperti Alex Yoong, MotoGP pula melahirkan pelumba seperti Hafiz Syahrin Abdullah yang pada malam itu turut menerima Anugerah Petronas International Rider of the Year.

Malam penganugerahan itu juga meraikan Jazeman Jaafar yang dianugerahi International Driver of the Year selepas kejayaannya pada Kejohanan Enduran Dunia bersama dua lagi rakyat Malaysia, Nabil Jefri dan Weiron Tan yang merupakan pasukan pertama Malaysia dalam 24 Hours of Le Mans.