Oleh Malaysia Good News | Gambar Fauzi Hamid

DI kanvas, perjalanan yang dilalui dihampar berlatar alam menerusi himpunan cerita peribadi yang dijadikan inspirasi.

The Journey menyatukan empat pelukis dengan latar belakang berbeda – Hudry Hayat, pelukis seni naïf; Roslen Fadzil, mantan editor yang juga penulis lirik terkenal; Hayati Rashid, peguam yang lebih dulu mendalami fesyen dan Nor Aishah Alli, gadis muda yang belum lama meninggalkan dunia kejuruteraannya.

Berlainan latar jelas menyerlahkan keunikan yang membuka jalan kepada penyatuan mereka yang berkongsi satu impian, iaitu kecintaan mendalam untuk berkarya.

“Ini adalah platform yang disediakan Hotel Primiera bagi memperkenalkan bakat-bakat tempatan,” kata Samirah Hambali daripada Mac Training Centre yang mengelolakan Lukisan @Premiera Series 1 yang memasuki tahun keduanya.

“Siri 2019 ini saya sifatkan cukup unik kerana menghimpunkan empat pelukis dengan latar belakang berbeza, termasuk dua daripada mereka bukanlah pelukis sepenuh masa namun kesemua mereka berbakat dan berpotensi untuk diketengahkan.

“Ia selaras dengan usaha Hotel Premiera Kuala Lumpur dalam menyediakan platform bagi pelukis baru, bukan saja untuk memperkenalkan nama dan karya mereka, malah sekaligus menyokong usaha ke arah membangunkan industri seni tempatan.”

Di tahun pertama pelancarannya, lebih 80 lukisan dipamerkan, antaranya oleh pelajar Universiti Teknologi Mara dan Aswara.

Samirah berkata, gabungan empat pelukis menerusi edisi pertama 2019 ini dibuat hasil pemilihan yang bermula tahun lalu.

“Semua empat pelukis ini dilihat mempunyai keunikan tersendiri, selain diyakini berupaya menzahirkan pengkisahan peribadi mereka menerusi medium pilihan.

“Roslen dan Hayati misalnya, walaupun bukan pelukis sepenuh masa, inilah matlamat Hotel Premiera dalam mewujudkan Lukisan @Premiera Series iaitu mencungkil potensi anak watan, begitu juga Aishah seraya mengangkat karya-karya pelukis berpengalaman seperti Hudry,” katanya.

Roslen yang pernah mengendalikan meja hiburan di Berita Harian dan Harian Metro, memanfaatkan pengalaman 27 tahunnya di dalam dunia kewartawanan untuk menghasilkan lukisan yang meraih pesona dengan tona warnanya.

Selesa dengan acrylic, ia sebagaimana kala dia menzahirkan mood rusty Venice, menggunakan warna kusam pada karya yang berbingkai klasik Eropah, bersandarkan pengalamannya selama berada di kota berkenaan semasa meliputi Festival Filem Venice yang ketika itu turut disertai Puteri Gunung Ledang.

“Pameran ini adalah permulaan baik untuk saya di 2019, menjadi pencetus semangat untuk saya kembali berkarya,” katanya yang hanya serius melukis lebih setahun lalu selepas kali terakhir menyertai pameran pada akhir 80an, ketika itu di Balai Seni Alor Setar yang dianjurkan Angkatan Pelukis Kedah.

Lukisan, bagi Hayati pula yang diinspirasi impressionism Claude Monet dan Van Gogh, mengimbangi kehidupan menjadi lebih kreatif. Merupakan bekas pelajar seni reka fesyen sebelum menyertai dunia perundangan, pemilihan warna terang menyerlahkan vibrasi dalam semangatnya.

“Kedamaian memasuki hutan yang dingin, mendengar bunyi ombak dan menikmati kehijauan pepohon dengan warna-warninya taman membibitkan aura paling kuat di dalam penghasilan karya,” katanya, berfalsafah.

Tanpa pendidikan formal dalam seni lukis, Hudry yang bereksperimen dengan pelbagai cabang seni, termasuk ukir kayu dan kaligrafi, memanfaatkan didikan pelukis terkenal, Yusof Gajah untuk membina namanya lewat karya seni naif.

The Journey menampilkan elemen tradisi dan budaya Melayu, dihidupkan melalui suasana kampung, terutama buat tatapan generasi muda yang semakin terbiasa dengan kemodenan.

“Saya menekankan elemen budaya dengan harapan kekayaan warisan Melayu akan dinikmati, tidak hilang ditelan zaman,” katanya yang juga merupakan pemilik Hudry Hayat Art Galeri di Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Suka mengembara, Aishah mengakui pengalaman di tanah asing menyemarakkan daya imaginasinya untuk berkarya seperti semasa dia berada di Nepal yang merupakan antara penceritaan yang dikongsi kali ini.

“Saya lukis berdasarkan imaginasi, kadang cebisan pengalaman yang saya alami semasa mengembara dan digabungkan menjadi sebuah lukisan,” katanya yang membuat pameran solo pertamanya, tahun lalu. “Saya letak sepenuh jiwa saya dalam setiap lukisan saya. Melukis buat saya bahagia dan saya berharap orang ramai akan ikut merasainya.”

***Lukisan @Premiera Series 1, The Journey, sedang berlangsung di Coffee House di Tingkat 5, Hotel Premiera Kuala Lumpur sehingga 31 Mac ini. Sila layari www.premiera.com.my untuk maklumat lanjut, atau ikuti di Facebook Premiera Hotel Kuala Lumpur dan Instagram @premierahotelkl