Oleh Malaysia Good News

JIKA benar ganja berupaya membawa manfaat daripada segi perubatan, mungkin Malaysia boleh mempertimbangkan untuk meneroka industri hem yang mempunyai pasaran besar di Eropah dan negara Barat lain.

Asalkan, menurut Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah, penanaman pokok ganja itu dihadkan bagi tujuan perubatan dan kajian serta mendapat kebenaran Menteri Kesihatan.

Sambil merujuk penghasilan produk minyak cannabidiol (CBD) oleh sebuah syarikat yang diterajui tiga anak muda dari Malaysia yang berpangkalan di Manchester dan dipasarkan sebagai diet harian semulajadi, beliau berkata ada peruntukan undang-undang yang membolehkan penanamam pokok ganja dengan syarat atau kebenaran khusus.

“Saya rasa sayanglah kalau benda (penghasilan CBD) ini betul dan boleh dilakukan (kajian) di dalam negara,” katanya yang dipetik kenyataannya dalam satu sidang medianya selepas Majlis Apresiasi AADK Pahang Bersama Rakan Pintar dan Rakan Strategik di Kuantan.

“Kalau kita tengok Akta Dadah Berbahaya 1952, pokok ganja ini boleh diusahakan untuk tujuan perubatan. Sebab itu, penting untuk dapatkan kelulusan Menteri Kesihatan terlebih dahulu sebelum ia boleh dihasilkan bagi tujuan perubatan.”

CBD Oils Malaysia – Malaya Hemp, menurut laman Facebook mereka adalah syarikat anak Melayu atau Malaysia pertama di UK yang didakwa merupakan pembuat CBD terbaik di UK dan Eropah bagi produk makanan tambahan semulajadi yang diperolehi daripada kandungan THC peringkat rendah.

Ia dibangunkan oleh sepasang suami isteri, Abdul Halim Pauzi dan Nurul Ain Sahbudin bersama rakan mereka, Mohd Roslan Abdullah, dan muncul antara 300 syarikat besar di Eropah yang menghasilkan produk tambahan kesihatan dan kecantikan berasaskan kecantikan dan hem.

Dijual secara dalam talian, produk itu dikatakan boleh diambil sebagai makanan diet harian untuk tujuan rawatan alternatif, kontemporari dan kesejahteraan hidup, sama ada untuk berehat atau merawat, atau kedua-duanya.

Jelas laman itu lagi, produk daripada minyak kepada kapsul, balms dan semburan yang dikeluarkan adalah “bebas GMO, organik, vegan dan 100 peratus semulajadi dengan setiap bahan diekstrak dari hem organik dalam EU (Kesatuan Eropah) dan Amerika Syarikat.”

Seraya menyifatkan portfolio produk mereka sebagai mengagumkan, di mana sampel yang diuji “disahkan di bawah ujikaji makmal yang ketat dengan menggunakan analisis HLPC atau kromotografi cecair prestasi tinggi”, laman berkenaan juga memberi jaminan ia tidak mengkhayalkan, cuma rasa tenang dan tiada rasa serabut, dapat mengekalkan kawalan emosi.

Ia juga memberi jaminan pengambilan produk mereka tidak melanggar undang-undang, jadi boleh dinikmati dengan selamat.

Zulkifli berkata, sekiranya pokok ganja dibuktikan mampu memberi kemujaraban daripada sudut perubatan, pihak berkenaan perlu melakukan sesuatu termasuk mempertimbangkan penanaman pokok ganja mengikut perundangan.

“Pokok ini tidak boleh ditanam bersepah. Sebab itu, kita kena kawal sebaiknya,” katanya, sambil menekankan penanaman tumbuhan tumbuhan itu sudah mula dibenarkan di beberapa negara. “Mungkin satu hari nanti, jika Malaysia ada bahan sebegitu, mungkin kita boleh jadi pengeksport tetapi mengikut undang-undang.”

Justeru, katanya penting untuk mendapatkan pengesahan Kementerian Kesihatan sekiranya ganja benar boleh dijadikan ubat.