Oleh Malaysia Good News | Gambar Fauzi Hamid

SKIL mewarna Ahmad Syafi Ahmad Yusri sering meraih perhatian. Dia bijak bermain dengan warna, sering menggunakan tona ceria, seolah membiaskan apa yang dirasainya kala pensil warna itu berada dalam genggamannya.

Dia bagaimanapun, bukan sepertimana kanak-kanak biasa.

Bagi anak sindrom down sepertinya, moodnya boleh berubah tanpa diduga. Dia juga memerlukan pengawasan hampir sepanjang masa, selain perhatian daripada kedua ibu bapanya, melebihi adik beradiknya yang lain.

Begitu pun, dia juga punya hati dan perasaan. Dan dia juga punya impian.

“Impian Syafi ialah untuk berupaya melakukan apa yang orang lain boleh buat,” kata Dr Ahmad Yusri Bani Hashim mengenai anak kesayangannya itu.

“Dan impian kami pula, sebagai ibu bapa Syafi, ialah untuk melihat agar anak kami mampu berdikari supaya tidak perlu bergantung harap kepada sesiapa di masa hadapan.”

Usaha dilakukan Dr Ahmad Yusri dan isteri, Sakinah Ramli, termasuk memastikan anak mereka menerima pendidikan bersesuaian iaitu menerusi Program Pendidikan Khas Integrasi (PKKI) di Sekolah Kebangsaan Selayang Jaya, tiga kali seminggu.

Manakala dua hari lainnya, Syafi dihantar ke ORKIDS atau Our Kids Are Special, kelolaan Persatuan Kebajikan Anak-anak Istimewa Selangor di Petaling Jaya.

Sekolah sahaja bagaimanapun, tidak mencukupi dan kerana itulah, ibu bapa seperti Dr Ahmad Yusri dan Sakinah mengalu-alukan program yang membuka ruang kepada anak-anak istimewa  untuk berinteraksi dengan masyarakat.

Care2Run KL BAR RUN 2019 lalu, antara program pembangunan sukan berasaskan kejurulatihan yang memberi peluang bagi penyertaan anak-anak seperti Syafi.

Program, menerusi satu acara larian bagi pengamal perundangan, atas jemputan Care2Run iaitu sebuah organisasi yang bermatlamat mentransformasi anak-anak kelainan upaya dan anak-anak muda daripada komuniti di luar kemampuan untuk menjadi pemimpin di masa depan.

Selaras matlamat Care2RUN, di mana sukan tidak dilihat sebagai satu pertandingan tetapi termasuk dalam dimensi pembangunan diri dan rekreasi, segmen yang berlangsung di Taman Tasik Perdana di Kuala Lumpur itu menyaksikan penyertaan daripada pelbagai kanak-kanak kelainan upaya seperti autism, selain sindrom down.

Omar, 22, antara remaja kelainan upaya yang mengakui teruja dengan acara sebegini.

“Saya selalu berlatih, berlari pada petang. Jadi, apabila ada acara larian seperti ini saya mesti nak masuk. Saya suka. Berlari buat saya rasa seronok,” katanya yang sering beroleh tempat tiga teratas dalam kebanyakan acara yang disertainya.

Dia juga mengakui keterujaannya didorong dengan garisan penamat dalam acara larian.

“Saya nampak pelangi,” katanya, ketawa apabila ditanya mengapa dia memastikan dirinya memecut apabila melihat garisan penamat. “Pelangi kan cantik, buat kita seperti mahu kejar, mahu capai. Sebab itu, saya pecut sebab apabila sampai ke garisan penamat itu, saya rasa bersemangat, rasa gembira macam dapat capai pelangi.”

Pertemuan seperti antara Omar dan Syafi menerusi acara sebegitu, menurut Sakinah pula, memberi peluang kepada anak-anak ini berinteraksi dan mungkin, beroleh inspirasi sesama mereka.

Biarpun Syafi tidak meraih pingat, jelasnya apa yang lebih penting dia melihat kesungguhan anaknya itu yang pernah menyertai Larian 100m Kategori Sindrom Down, PPKI Daerah Gombak pada 2018, menghampiri garisan penamat.

“Ia mengajar anak-anak seperti Syafi mendisiplinkan diri,” kata Sakinah mengenai pendedahan melalui program sedemikian, di mana peserta ditemani dua sukarelawan daripada Care2RUN yang bertindak memberi galakan kepada anak-anak istimewa terbabit sepanjang larian.

“Ini mendedahkan anak-anak ini, juga ibu bapa, mengenai kerja berpasukan kerana mereka berlari bersama teman. Lebih penting, ia dilihat sebagai cara bagi meningkatkan kemahiran sosial dan tahap keyakinan mereka, sekaligus cara senaman yang bagus.”

Program sedemikian, menurut Dr Ahmad Yusri lagi, bukan saja memanfaatkan anak-anak istimewa, tetapi juga masyarakat.

“Ia memberi peluang bukan saja kepada Syafi untuk berhubung dengan masyarakat tapi juga memberi pendedahan dan sedikit sebanyak kefahaman kepada orang luar mengenai anak-anak istimewa. Selain itu, skil lariannya serta tahap kesabaran dapat ditingkatkan.

“Masyarakat perlu buang persepsi negatif seperti terhadap insan sindrom down supaya lebih faham keletah, perangai serta keperluan mereka,” tambahnya.