Oleh Malaysia Good News

TABUNG Harapan Malaysia (THM) dengan rasminya ditutup selepas mengumpul sumbangan lebih daripada RM202 juta dalam tempoh lapan bulan, semenjak dilancarkan pada 31 Mei lalu.

Sehingga 14 Januari lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata tabung berkenaan mencatat jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM202,716,775.10.

Beliau, menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, menjelaskan  Jawatankuasa Akaun yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir akan menentukan bagaimana sumbangan itu akan digunakan.

Ia akan dibuat sebagaimana prosedur yang digariskan Arahan Amanah Akaun Tabung Harapan Malaysia.

Penubuhan tabung itu dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Mei lalu, mengikut peruntukan subseksyen 9(1), Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61). Sumbangan orang ramai, individu mahu pun korporat dilihat sebagai simbol semangat taat setia dan patriotisme rakyat Malaysia untuk melangsaikan hutang negara.

Berikut 8 FAKTA yang anda perlu tahu mengenai THM:

  • THM dilancarkan pada 30 Mei 2018
  • Ia mencatat kutipan RM7 juta dalam tempoh 24 jam selepas dilancarkan
  • Tabung dilancarkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) bagi membayar hutang negara yang dikatakan mencecah RM1 trilion ekoran skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB)  yang dikaitkan dengan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak; peniaga, Jho Low dan Firma Goldman Sachs.
  • Guan Eng, dalam satu kenyataannya kepada media, memberitahu sumbangan melalui tabung berkenaan khusus bagi membantu kerajaan persekutuan “membayar semula hutang negara yang sangat tinggi.”
  • Kala berbincang mengenai hutang negara yang didakwa ditinggalkan pentadbiran lalu, beliau membayangkan “jika seorang bayi dilahirkan di Malaysia, hari ini, dia sudah pun berhutang RM33,000.“
  • Tempoh pemberian sumbangan yang seharusnya dihentikan pada 31 Disember, dilanjutkan selama dua minggu sehingga 14 Januari lalu berikutan “maklum balas positif dan keprihatinan rakyat Malaysia
  • Ogos tahun lalu, Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Mahmud V menitahkan pembatalan Istiadat Hari Keputeraan Rasmi dan Jamuan Teh Diraja sempena sambutan Hari Keputeraan baginda dengan mengembalikan semula peruntukan perbelanjaan kepada kerajaan dan disalurkan kepada THM
  • Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mendedahkan kerajaan PH pernah menolak sumbangan RM100 juta oleh satu syarikat kerana “cuba untuk mempengaruhi kerajaan dan kita menolak.”