Oleh Malaysia Good News | Gambar Twitter Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri

MUFTI Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri meraih perhatian dengan “hadiah tahunannya yang kecil” ketika meraikan jiran-jiran Tionghuanya dengan caranya yang tersendiri sempena menyambut sambutan Tahun Baru Cina, semalam.

Pilihan beliau, kek coklat yang tertera ucapan “Happy Chinese New Year” yang mungkin nampak sederhana tetapi membawa makna mendalam, selaras anjuran Islam dalam perihal menyantuni jiran, juga masyarakat yang berlainan agama.

Beliau, memetik sifat mulia junjungan Rasulullah, menerusi entri di akaun Twitter @drzul_albakri, berkata: “Betapa sejarah kehidupan Rasulullah SAW sendiri membuktikan bahawa tembok bangsa dan agama boleh diketepikan dengan akhlak dan kesantunan.

“Hari ini, saya meraikan jiran-jiran saya yang berbanga Cina dengan kek sempena Tahun Baru Cina. Mungkin ini hanya hadiah tahunan yang kecil namun saya amat berharap ianya mampu menyumbang sesuatu kepada keharmonian rakyat Malaysia berbilang bangsa.”

Melalui entri yang turut dipaparkan di laman Facebook miliknya, Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, ahli agamawan itu juga menekankan mengenai keindahan Islam itu sendiri yang ikut meraikan kepelbagaian agama dan keberagaman bangsa.

“Hidup beragama ini sebenarnya indah dan mudah,” katanya, menerusi perkongsian itu, seraya menambah, “jika kita memahami kehendak agama, juga batasannya.

“Islam meraikan kepelbagaian agama dan keberagaman bangsa.”

Di dalam perkongsian berikutnya, Dr Zulkifli turut mengingatkan mengenai asal usul manusia itu sendiri sebagai asas kepada anjuran dalam menyantuni sesama insan.

“Marilah kita kembali kepada asas yang hakiki bahawa kita sebenarnya satu keluarga besar yang bernendakan Adam dan Hawa.

“Zahirkan keindahan Islam, sebarkan semangat pepaduan.”

Pemilik akaun @cikailah, menerusi komennya, melahirkan kekagumannya terhadap Dr Zulkifli yang disifatkan mempunyai “personaliti rendah diri dan bertimbang rasa.”

Di dalam komen sama, beliau mengakui “cuba belajar dengan cara sedemikian selagi tidak lari daripada akidah”, seraya berharap apa yang dilakukan tokoh berkenaan dicontohi terutama “pendakwah-pendakwah muda yang cepat melenting dan menghukum (agar) dapat mencontohi Tuan Mufti.”

Pemberian kek oleh Dr Zulkifli, menurut pemilik akaun @flrns__ pula adalah “langkah kecil yang (membawa kepada) perubahan besar.” Sambil berharap usahanya itu boleh dijadikan tauladan, dia menyifatkan “sejuk hati orang tak mengira bangsa (apabila) buat macam ini.”

Fikri Hashim di akaun Twitter @Fikri_2013 yang turut menyambut baik usaha sebagaimana dilakukan mufti berkenaan, melihat usaha dilakukan itu dapat meniup angin segar yang boleh menyahkan pemikiran toksik berhubung pemisahan bangsa yang hanya dicetuskan orang politik berkepentingan.