Oleh Zurina Waji | Gambar Fauzi Hamid

DIA sesekali mencuri pandang, mungkin penasaran melihat wajah bukan biasa di trek latihan Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, pagi itu. Sejam berlalu apabila dia yang menanti giliran ujian larian akhirnya mendekati dan tanpa berkata apa-apa, menghulurkan tangan. Lembut.

Sejujurnya, saya tidak menduga.

Inilah lelaki yang memberi Malaysia pingat emas pertamanya pada Sukan Paralimpik Rio 2016 di Brazil. Atlet balapan negara ini,  menerusi acara 100m T36 (cerebral palsy) mencatat masa 12.07 saat, mengatasi rekod 12.25 saat yang dipegang atlet Ukraine, Roman Paylyk di Sukan Paralimpik Beijing 2008.

Dan 2018 disifatkan tahun cemerlang buatnya yang meraih, bukan satu tapi tiga pingat emas pada Sukan Para Asia 2018 di Jakarta.

Dan esok, di Anugerah Paralimpik Asia di Dubai,  mungkinkah dia melakar sejarah lagi sebagai Atlet Para (Lelaki) Terbaik Asia 2018?

Di sebalik semua ini, tiada aura keangkuhan dalam dirinya. Saya tidak pasti apakah dia menyedari dia sudah melakukan perkara hebat.

“Dia tahu,” kata Ketua Jurulatih Olahraga Paralimpik negara, R Jeganathan. “Dia tahu dia dapat emas dan cipta rekod baharu, tapi itu untuk negara. Saat bendera Malaysia berkibar dan lagu Negaraku dimainkan, itu lebih berharga.”

Pada Sukan Para Asia 2018, Mohamad Ridzuan adalah pemegang rekod dunia bagi acara 100m T36 dengan catatan 11.87 saat selepas memadamkan rekod 11.90 saat milik atlet Rusia, Evgenii Shvetcov yang dilakukan pada Kejohanan Paralimpik Dunia IPC di Lyon, Perancis pada 2013.

Dua pingat emas lainnya diperolehi pada acara 400m lelaki T36 dengan masa 59.35 saat, selain acara lompat jauh T36 bersama rekod baharu Asia iaitu 5.49 meter, memecahkan rekod 5.43 meter yang dipegang atlet China, Yang Yifei.

“Berlatih keras, dapat tiga emas,” kata Mohamad Ridzuan, antara yang dapat saya fahami kala dia mengimbau temasya 2018 itu dan kebanyakan masa, R Jeganathan membantu, sabar menterjemah apa yang disebut anak didiknya.

Dicalon bagi Atlet Para (Lelaki) Terbaik Asia 2018, ia suatu yang tidak diduga.

“Kami gembira, pasukannya juga gembira. Ini kali pertama (pencalonan atlet negara) dan bagi kami, pasukan atlet para, kami berbangga kerana pencalonan Mohamad Ridzuan sendiri adalah satu sejarah,” katanya. “Ia tidak mudah. Dia berlatih setiap hari, berusaha semenjak dia memulai latihan bersama saya, 10 tahun lalu.”

Tokyo 2020, Ridzuan Puzi Datang!

PAGI pertemuan itu, cahaya matahari belum begitu terik. Suasaan nyaman mendorong kami bersila saja di trek, berbual santai.    Sekilas, ya, dia tampak biasa tapi R Jeganathan mengakui  berdepan cabaran berbeda selama melatihnya. “Sebab dia cerebral palsy, antara cabarannya dia tidak mendengar apabila kita memanggil daripada belakangnya,” katanya.

“Dan setiap lima, 10 minit, kita perlu mengingatkan dia apa yang kita beritahu dia, sebelum itu. Dia macam budak, sebab itu saya kena bersabar. Saya garang tau.”

Mendengarnya, Mohamad Ridzuan ketawa dam berkata, “Coach garang. Dia tampar, marah saya.“

R Jeganathan senyum, menjelaskan, “Garang masa berlatih, tapi selepas latihan saya kembali menjadi seorang bapa untuknya.“

Katanya, “Kami ada impian, mahu raih emas lagi. Tapi kami juga harus menerima hakikat, sebagai penghidap cerebral palsy dia akan mengalami keadaan di mana tendon jadi pendek, menjejaskan otot dan sarafnya, sekaligus kepantasannya.

“Dia juga tahu, umurnya kini sudah 32 tahun dan kebanyakan atlet sepertinya, pada usia sebegini, kepantasan berkurangan. Kami ingin meninggalkan kenangan manis pada Tokyo 2020 (Sukan Paralimpik).”

Diajak mengimbau perasaannya setiap kali mahu tiba ke garisan penamat, Mohamad Ridzuan berkata, “Saya hanya fikir untuk dapatkan emas… macam di Sukan Asia. Saya cuma nampak garisan penamat. Apa pun yang terjadi, saya cuma tahu saya mesti sampai dulu.”

R Jeganathan mengakui memang itu yang dipesannya kepada atlet itu, setiap kali.

“Saya ingatkan dia, walau apa yang berlaku jangan tengok kiri kanan (semasa berlari). Go, go saja. Impian 2020, mahu raih emas lagi untuk negara. Orang nampak Malaysia sekarang, sebab itu masa di Rio, saya peluk dia (selepas kemenangan), saya menangis kerana rasa sebak itu tidak boleh dikawal lagi.

“Semasa saya beritahu kami akan bawa balik emas dari Rio (Sukan Paralimpik), orang ketawa. Semasa di temasya Jakarta, saya tahu dia boleh lari acara 400 meter tapi dia sudah mengalami kecederaan dan doktor menasihatinya untuk tidak bertanding lagi.

“Jam 1.30 pagi, dia ketuk pintu bilik saya, mahu buat lompat jauh. Dia mendesak, jadi saya perlu tenangkan dia. Disebabkan keadaan dia, saya mesti buat dia gembira. Sempatlah berlatih tiga kali dan dalam keadaan begitu, dia bukan saja meraih emas tapi juga pecah rekod,” katanya.

Jalan Liku Melahirkan Juara Dunia

MATA R Jeganathan berkaca saat dia memandang Mohamad Ridzuan, berkata, “Budak ni seorang pejuang. Kesungguhan dia, mengagumkan.” Selama 20 tahun dia menjadi jurulatih atlet biasa, seawal 1981, sebelum dilantik melatih atlet para dan melengkapi dirinya dengan ilmu psikologi, antaranya.

“Di Rio, saya menangis di dalam bilik. Sebelum itu, Ridzuan banyak berdepan gangguan. Saya perlu sentiasa memberitahunya bahawa saya jurulatihnya dan juga ayahnya, jadi jangan dengar cakap orang lain. Dia dengar cakap saya.

“Kami melalui masa sukar dulu kerana orang memandang rendah, tidak sangka Malaysia boleh melahirkan juara dunia. Saya beritahu dia, lupakan penghinaan orang, jangan ambil kisah kerana itu sebahagian daripada apa yang harus dilalui untuk berjaya,“ katanya.

Mohamad Ridzuan senyum, gelihati apabila mendengar jurulatihnya itu mengakui, “Sebab itu, saya macam harimau masa melatihnya.“

Dia tunduk, diam mendengar R Jeganathan menambah, “Saya boleh marah, tampar dia kerana untuk kebaikannya tapi hanya saya boleh melakukannya. Orang lain tidak boleh buat sebab orang seperti dia akan cepat moody, jangan kita berkasar. Atau, mereka mudah sugul dan kurang bersemangat.“

Ditanya, wajah Mohamad Ridzuan berubah, memberitahu dia tidak suka orang lain memarahinya.

Rasa sebak mula menguasai R Jeganathan apabila dia berkata, “Kita kena pandang mereka ini sebagai anak yang istimewa, harus dilayan elok dan bukan diketepikan atau dikasari. Saya sendiri punya dua anak, masing-masing berusia 30 dan 34 tahun. Pernah, anak menegur saya melebihkan Ridzuan berbanding mereka apabila saya tidak menghadiri perkahwinan anak sendiri pada 2015 kerana memilih untuk bersamanya pada satu pertandingan.

“Saya mahu dia mampu menjaga dirinya, itulah sebaiknya. Saya anggap dia macam anak, juga kerana amanah kedua ibu bapanya tapi saya tak tahu berapa lama saya boleh menjaganya. Ridzuan adalah inspirasi bahawa insan sepertinya boleh berjaya dan seperti kita, juga ada impian dan apa yang mereka perlukan hanyalah kasih sayang daripada kita.”