Oleh Malaysia Good News | Gambar www.proton.com

PROTON membuka tirai 2019 dengan menunjukkan pencapaian memberangsangkan apabila mencatat jumlah pendaftaran yang meningkat kepada 7,007 unit pada Januari lalu.

Jualan bertumpu pada model baharunya, Proton X70 yang memperlihatkan jualan rancak selepas pelancarannya pada 12 Disember lalu, sekaligus merekodkan pendaftaran SUV paling banyak di pasaran Malaysia.

“Ia berterusan hingga ke tahun baharu dengan sebanyak 2,777 unit didaftarkan pada Januari 2019,” menurut siaran media yang dikeluarkan PROTON. “Jumlah tersebut bermakna Proton X70 telah mencatat rekod baharu sebagai SUV segmen C paling banyak didaftarkan dalam masa sebulan.”

Sehubungan itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong, dalam usaha mengekalkan momentum jualannya, pihaknya menganjurkan promosi “Ang Pow” sempena sambutan Tahun Baru Cina, Februari ini.

Promosi berkenaan, antara lain melayakkan pembeli kereta-kereta Proton mendapatkan penjimatan sehingga RM4,000, bergantung pada model yang dipilih.

“Bersempena dengan  sambutan Tahun Baru Cina, PROTON ingin terus memberikan ganjaran kepada para pelanggannya dengan menawarkan insentif tambahan (kepada) yang membeli kereta Proton baharu,” katanya lagi.

Terdahulu, merujuk jualan kereta Proton yang dicatat pada Januari lalu, siaran media itu turut menyatakan pegangan pasaran pula dianggarkan pada 14.5 peratus. Begitu pun, angka sebenar hanya akan disahkan selepas data jualan industri dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Jumlah besar yang didaftarkan bagi SUV adalah penting bagi PROTON yang mempamerkan angka pertumbuhan jualan yang mengagumkan.

Berbanding jualan sebelumnya, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 33.6 peratus sementara perbandingan dari tahun ke tahun, angka mewakili pertumbuhan sebanyak 46.5 peratus daripada Januari 2018, menjadikan Proton mendahului pasaran dalam kadar pertumbuhan bagi jenama automotif antara ketiga teratas.

PROTON juga mengumumkan pencapaian lainnya yang mendahului industri, iaitu mengenai jumlah kemudahan pada cawangan 3S/4S.

Sehingga akhir bulan ini, terdapat 74 cawangan PROTON 3S/4S dan pengedar beroperasi, dan akan lebih banyak cawangan dibuka sepanjang tahun ini. Cawangan berkenaan akan bergandingan membantu PROTON dalam mencapai indeks Perkhidmatan Jualan (SSI) dan Indeks Perkhidmatan Pelanggan (CSI) meraih sasarannya.

“PROTON amat berterima kasih kerana dapat membuka tirai 2019 secara positif,” kata Dr Li. “Kami sudah menjangkakan pencapaian jumlah cawangan 3S/4S di dalam industri pada hujung bulan ini, tetapi angka pertumbuhan jualan dan rekod pendaftaran SUV adalah disebabkan oleh sokongan yang kami terima daripada pembeli kereta di Malaysia.

“Masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk menaikkan semula jenama syarikat tetapi kami akan berusaha untuk terus memberikan pengalaman mewah di cawangan kami, di samping meningkatkan penawaran bagi model-model kami.”