Oleh Malaysia Good News

“RESEPI orang kampung untuk pasaran dunia, daripada sambal hijau ke serunding halia, mematahkan keraguan kononnya produk kita tidak cukup kelas,” menurut Dr Norhazlina Sajali, Ketua Pegawai Eksekutif Samza Food Industries.

Sudah empat tahun semenjak Samza Food Industries mengeluarkan Sambal Hijau, menggunakan jenama Samza’s, yang juga merupakan produk pertama syarikat itu yang masih mengungguli carta jualan terbaik mereka.

Kepedasan cili hijau diimbangi dengan kemasaman tomato dan rasa asidik Sambal Hijau membolehkan Samza, pengeluar produk berasaskan sambal, pes dan sos memperluaskan sayapnya ke negara Arab, bermula di Jeddah selain Singapura dan Brunei.

Dan kini, menerusi penyertaan tiga hari di MHE 2019 anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan sebagai platform untuk jenama tempatan meneroka pasaran lebih luas, membolehkan Samza mengintai peluang memasarkan produk mereka di Jepun pula.

“Resepi orang kampung untuk pasaran dunia.” – Sasaran Dr Norhazlina dengan produk Samza’s

“Jika di Malaysia, sambal hijau biasanya kita makan bersama nasi tetapi kalau untuk Jepun, misalnya kita tidak bolehlah nak buat begitu juga. Jadi, kita ubah pendekatan dengan diperkenalkan sebagai bahan dalam penyediaan sushi yang merupakan makanan ruji masyarakat Jepun,” katanya ketika ditemui di tapak pameran di MHE di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) yang berakhir, Sabtu lalu. Kekayaan warisan hidangan Melayu, menurut Dr Norhazlina, terus menjadi sandaran Samza yang menjadikan MHE 2019 sebagai platform dalam memperkenalkan tiga produk terbaru mereka, tahun ini yang berasaskan halia.

“Samza buka 2019 dengan memperkenalkan tiga produk berasaskan halia, iaitu Serunding Halia berperisa asli dan lada hitam selain Jus Halia, bersesuaian dengan trend, apa yang menjadi amalan pemakanan kini selain menitikberatkan soal pembungkusan.

“Di Samza, kami sentiasa memikirkan apa lagi selepas ini bagi memastikan kami berdaya saing dan berada di depan dalam pasaran,” tambahnya seraya berkongsi bagaimana pendekatan menggunakan jus halia sebagai salad dressing telah meraih minat pengedar Arab untuk mengembangkan jenama Samza’s.

Bertema “Malaysia ke Jepun untuk Olimpik 2020”, MHE 2019 menampilkan 300 tapak pameran seperti makanan dan minuman, bioteknologi serta farmaseutikal. Ia adalah platform pertama seumpamanya bagi melonjakkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan yang sedia eksport, terutama menjelangnya Sukan Olimpik Tokyo dan Paralimpik 2020.

Jenama selebriti, antaranya Mak Cun dan Amy Search raih perhatian di MHE 2019

Juga diadakan, sesi padanan bisnes dan forum, perkongsian berhubung piawaian terkini seperti pengiktirafan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), antara persiapan bagi PKS untuk meneroka pasaran Jepun.

Sempena Sukan Olimpik 2020, Jepun mensasarkan kemasukan 40 juta pelancong, tahun depan, di mana sebahagiannya beragama Islam. Jepun adalah destinasi eksport produk makanan siap proses kedua terbesar Malaysia, bermilai AS$249 juta (RM972 juta) selepas China (AS$391.6 juta atau RM1.56 bilion).

Juga meraih perhatian pada MHE 2019, jenama seperti keju krim Bromme keluaran Semarak 16 Sdn Bhd yang berpangkalan di Selangor yang dianugerahi Islamic Innovative and Challenge pada hari kedua pameran berlangsung. Ia juga memperkenalkan Qhee Jo, satu lagi jenama mereka yang menampilkan enam perisa termasuk strawberry, matcha dan durian yang dijangka memasuki pasaran tidak lama lagi.

Qhee Jo, pemenang produk inovatif halal keluaran Semarak 16

Sedia dimakan, sedap dan menjimatkan masa pula menjadi pendekatan Bentoree iaitu jenama keluaran Bento Food Industries Sdn Bhd yang memperkenalkan menu popular Malaysia, daripada Nasi Lemak Dengan Sotong Vegetarian ke Nasi Pulut Vegetarian selain pencuci mulut seperti Bubur Kacang Merah.

Chef Resepi, Myco Lam Kon Fatt, berkata, “Ia mensasarkan golongan yang berkejar dengan masa, daripada pekerja pejabat hingga pelajar, malah sesuai untuk majlis dan perjalanan jarak jauh. Penstoran mudah, tanpa penyejukan atau penyimpanan beku dan mengambil masa hanya 60 saat untuk disediakan, dipanaskan sama ada menggunakan gelombang mikro atau stim.”

Sambil membayangkan kaedah itu sesuai untuk keraian sebesar Olimpik dan keupayaannya memenuhi keperluan dalam pasaran makanan halal, beliau ingin menarik perhatian mengenai mangkuk kalis haba dan selamat digunakan, juga yang pertama seumpamanya.

Menu popular Malaysia Bentoree yang praktikal

“Sasaran awal kami ialah pasaran Asia,” katanya mengenai pemilihan empat menu popular Malaysia berasaskan vegetarian, antaranya berinspirasi Melayu dan Nyonya selain tiga pencuci mulut sebagai pengenalan. “Lagi menu akan diperkenalkan seperti rendang dan asam tumis, bukan saja kerana ianya merupakan hidangan popular tapi juga menyerlahkan kekayaan warisan pelbagai etnik di Malaysia.

“Dan pengiktirafan halal daripada JAKIM diperolehi Bentoree untuk setiap satu hidangannya yang jelas menunjukkan ketelitian dan kesungguhan kami dalam menghasilkan satu-satu produk menurut tuntutan syariah. Pengiktirafan JAKIM membuka peluang luas kepada kami untuk meneroka pasaran halal dunia.”