Oleh Malaysia Good News

SEJARAH dicipta lagi. Lagu kebangsaan Malaysia berkumandang pada pertandingan akhir Coupe du Monde de la Patisserie 2019 yang juga dikenali sebagai Piala Dunia Pastri 2019 selepas tim nasional meraih markah tertinggi di Lyon, tengah Perancis, mengatasi 21 pasukan lain, kelmarin.

Ini juga kemenangan pertama buat negara yang tidak pernah beroleh Top 3 walau sekali pun sejak pertandingan diadakan pada 1989!

Dipimpin Ketua Cef, Patrick Siau dari Sekolah Hospitaliti, Sunway University, kertas pemarkahan keseluruhan menunjukkan Malaysia berada di tangga teratas dengan meraih 11,904 markah untuk merangkul emas, diikuti Jepun (perak)  dengan markah 11,862 selain Itali (gangsa) yang mencatat 11,083 markah.

Siau dibantu oleh Cef Tan Wei Loon, Otto Tay dan Loi Ming Ai yang merupakan pemenang di Piala Pastri Asean (APC) 2018 di Singapura, tahun lalu.

Pertandingan ini adalah sebahagian daripada Sirha, iaitu Pameran Katering Hotel dan Dagangan Makanan Antarabangsa di Lyon. Ia diadakan bagi meraikan seni coklat dan pakar pencuci mulut serta ais krim sempena sambutan ke-30 Coupe du Monde de la Patisserie.

Bertema Nature, Flora and Fauna, pertandingan ini juga memperkenalkan satu cabaran baru yang memerlukan setiap tim menghasilkan pencuci mulut 100 peratus vegan, tidak menggunakan sebarang produk berasaskan haiwan.

Pertandingan berprestij ini dianjurkan setiap dua tahun di Lyon yang bertujuan mengenalpasti bakat di kalangan Cef Pastri muda daripada seluruh dunia. Edisi tahun ini berlangsung selama dua hari, bermula 27 Januari lalu.