Oleh Malaysia Good News

“DOAKAN yang terbaik,” titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in selepas pemasyhuran baginda sebagai Sultan Pahang pada 15 Januari lalu, semasa ditanya mengenai mesyuarat Majlis Raja-Raja bagi membincang dan memperkenan perlantikan Agong yang baharu.

Dan semalam, Majlis Raja-Raja dalam Mesyuaratnya yang ke-251 (Khas), bersetuju mengisytiharkan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 selama lima tahun, mulai 31 Januari ini.

Dipengerusikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, mesyuarat yang berlangsung di Istana Negara dan dihadiri kesemua Sultan dan Raja Melayu kecuali Kelantan turut mengesahkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kekal sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

Perlantikan diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad. Istiadat melafaz sumpah jawatan dan menandatangani surat memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong baharu dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong dijadualkan pada 31 Januari ini.

Ini 15 fakta yang menjadikan perlantikan Agong baharu kali ini paling bersejarah:

  • Perlantikan Agong baharu dibuat bagi menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Agong pada 6 Januari lalu
  • Perletakan jawatan oleh Agong ke-15 itu adalah yang pertama dalam sejarah Malaysia sejak 1957 yang mengamalkan sistem raja berpelembagaan dan demokrasi berparlimen
  • Kesultanan Melayu era moden ini satu-satunya di dunia yang mengamalkan sistem penggiliran bagi perlantikan Yang di-Pertuan Agong, iaitu lima tahun untuk setiap penggal
  • Perletakan jawatan Sultan Mahmud V diumumkan sekembalinya baginda daripada bercuti selama dua bulan bagi menjalani rawatan, bermula 2 November tahun lalu
  • Tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong sepanjang peninggalan baginda dijalankan oleh Sultan Nazrin selaku Timbalan Yang di-Pertuan Agong berdasarkan perlantikannya pada 13 Disember 2016
  • Spekulasi menyelubungi kedudukan Sultan Mahmud V, susulan dakwaan perkahwinannya dengan bekas ratu cantik, Miss Moscow 2015, Oksana Voevodina di Barvikha, Rusia pada November itu. Bagaimanapun tiada pengumuman rasmi dibuat Istana Negara mengenainya.
  • Sultan Mahmud V yang mengangkat sumpah jawatan pada 13 Disember 2016 dan ditabalkan pada 24 April 2017, bagaimanapun bukan Ketua Negara pertama tidak cukup penggal perkhidmatan
  • Tiga lain ialah Yang di-Pertuan Agong pertama Persekutuan Tanah Melayu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Alhmarhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad yang ditabalkan pada 31 Ogos 1957 sehingga mangkat pada 1 April 1960; Yang di-Pertuan Agong ke-2, Almarhum Sultan Selangor, Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ala’iddin Sulaiman Shah yang memegang jawatan pada 14 April 1960, mangkat beberapa jam sebelum pertabalannya dan Yang di-Pertuan Agong ke-11, Almarhum Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah yang dilantik pada 26 April 1999, mangkat pada 21 November 2001
  • Perlantikan Al-Sultan Abdullah sebagai Agong berlaku dalam tempoh sembilan hari selepas baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang yang ke-6 dalam era moden Kesultanan Melayu
  • Istiadat di Istana Abu Bakar, Pekan itu juga yang pertama menyaksikan seorang Tengku Mahkota dimasyhurkan sebagai Sultan baharu berikutan keadaan Sultan Ahmad Shah yang sedang gering dan tidak lagi boleh memikul tugas serta tanggungjawab sebagai pemerintah
  • Pemasyhuran Al-Sultan Abdullah diputus dan dipersetujui kerabat diraja Pahang dan ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri kali ke-110  pada mesyuarat Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Pahang di Kuala Lumpur, 11 Januari lalu yang turut diberi kuasa menurunkan takhta raja, berkuatkuasa tarikh sama
  • Ini adalah penggiliran kedua Pahang menjadi Yang di-Pertuan Agong, hampir 35 tahun selepas Ayahanda Sultan Ahmad Shah memegang jawatan itu mulai 26 April 1979 hingga 25 April 1984
  • Sejak merdeka, 15 Sultan daripada sembilan keluarga diraja telah mengambil giliran dan memasuki pusingan kedua pada 1994 selepas Yang di-Pertua Besar Negeri Sembilan, Almarhum Tuanku Ja’afar Ibni Alharhum Tuanku Abdul Rahman ditabal Yang di-Pertuan Agong ke-10
  • Tengku Panglima Besar Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, 23, yang juga anak saudara Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dijangka ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Pahang yang baharu pada 29 Januari
  • Ia serentak pemasyhuran Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar, kerabat diraja ke-5 memakai gelaran Tengku Ampuan Pahang berikutan perkahwinannya dengan Al-Sultan Abdullah pada 1986, ketika Almarhum ayahanda menjadi Agong ke-8