Oleh Malaysia Good News

SEVEN Collar T-Shirt mengetuai senarai 10 band yang bakal menghangatkan pentas di #ATASBIGJANSHOW sebagai memulai kalendar muzik tempatan pada 2019 ini yang dijadual berlangsung di Bentley Music Auditorium, hari ini.

Band indie rock itu kembali pada 2019 ini dengan Murder, album studio keempat yang dilancarkan pada akhir tahun lalu. Ini juga merupakan konsert pertama mereka selepas setahun terperap di studio bagi menyiapkan album berkenaan.

#ATASBIGJANSHOW adalah sebuah produksi BijanFX Productions.

Konsert berkenaan, menurut penganjur, Najib, adalah sebagai usaha bagi menyemarakkan lagi industri muzik dengan menggalakkan pemuzik, terutamanya band indie melahirkan album.

“Idea asal #ATASBIGJANSHOW ini adalah untuk mempromosi album tempatan,” kata Najib . “Banyak wang, masa dan tenaga dicurahkan untuk pembikinan EP serta album tetapi kurang mendapat perhatian berbanding dengan melancarkan single.

“Kita ingin kembali menggalakkan pendengar membeli album dan pada masa yang sama, artis dan band mengeluarkan album.”

Selain Seven Collar T-Shirt, antara persembahan yang dijangka meraih perhatian ialah daripada Iqbal M yang merupakan band di bawah naungan Luncai Emas Sdn Bhd yang dimiliki maestro muzik berpengaruh, M Nasir. Band ini bakal muncul dengan album sulung,  Februari ini, dan album terhad mereka juga boleh didapatkan pada hari konsert berlangsung.

Juga disenarai membuat persembahan pada konsert yang bakal bermula seawal jam 12 tengahari itu ialah The Venopian Solitude, The Fatalis, Hacktick, StrikeOut, Leaism, Budak Nakal Hujung Simpang, Coraband dan TIM.

“Kadang kala band atau audiens pergi menonton persembahan tetapi tidak puas sebab dapat tengok artis kegemaran bermain dalam durasi 20 minit sahaja. Band pun kadang tidak puas sebab slot pendek dan tidak dapat melakukan persembahan dan mempromosikan lagu-lagu lain dalam album.

“Melalui #ATASBIGJANSHOW ini, kami memang mahu menggalakkan band all out untuk bermain dalam set yang mereka idamkan selama ini,” kata Najib lagi.    Disokong oleh Vans dan Hausboom, tiket berharga RM50 boleh dibeli di lokasi konsert.