Oleh Zurina Waji | Gambar KHOM

NIAT Nik Marina Hussin, asalnya untuk menyerahkan anak-anak patung beruang menerusi Projek Humaniteddy bagi menggembirakan kanak-kanak pelarian Syria di sebuah sekolah di Irbid, Jordan, sempena keraian Tahun Baharu 2019, selain meninjau persediaan bagi misi akan datang.

KHOM, badan sukarelawan yang ditubuhkannya beberapa tahun lalu memayungi kerja-kerja sukarelawan oleh alumni Pusat Tuisyen Akademik Karisma, selain menggalak penyertaan pelajar sedia ada dengan misi membabitkan pelarian Syrian dibantu bekas pelajarnya yang menuntut di Jordan. Pusat tuisyen berpangkalan di Kota Baharu itu diasaskan beliau bersama suami, Kapten Ariffin Abd Rani (Bersara).

Kunjungan ke Jordan pada musim dingin, akhir Disember tahun lalu, termasuk ke kem-kem daif di Mafraq, berhampiran sempadan Jordan-Syria menyebabkan pendidik berusia 46 tahun ini bertekad bahawa kenyataan kehidupan pelarian ini tidak boleh diketepikan dan mereka enggan pulang dengan tangan kosong.

Ikuti temubual Malaysia Good News bersama Nik Marina yang juga merupakan Pengarah Misi KHOM:

Apa yang dilakukan KHOM dalam kunjungan ke Jordan, baru ini?

Kami ke Jordan untuk menyerahkan Teddycares daripada Projek Humaniteddy oleh KHOM kepada anak-anak pelarian Syria sebagai hadiah Tahun Baharu daripada rakyat Malaysia, selain meninjau untuk misi Lebaran sambil menziarahi anak angkat yang sedang menuntut di sana.

Sebagai Pengarah Misi, saya membawa bersama Pegawai Perhubungan, Dr Syaqira Suhaimi iaitu penterjemah kami, selain pegawai dokumentari rasmi, Najihah Najlaa Aminariff dan Pembantu Peribadi, Norshaqinaz Nazaruddin.

Mulanya, kami berhasrat untuk berbincang dengan NGO bagi kerjasama di masa depan, iaitu The Syrian Women Association (SWA), The Child Care Association (CCA) dan Teach for the Needs (TFTN), juga bagi mengumpul data dan informasi mengenai tempat yang akan menjadi tumpuan kami bagi tujuan bantuan dalam misi akan datang.

   CCA cenderung pada rakyat tempatan yang miskin, cacat dan menguruskan 55 kem pelarian Syria. Organisasi ini bergantung kepada sumbangan orang ramai bagi menguruskan kem.  Kami ke kem Khum Arif yang berada dua kilometer dari sempadan Syria yang menempatkan 35 keluarga dan Saba Aasiyad, satu kilometer dari sempadan Syria yang dihuni 40 keluarga.

Gambar Najihah Najlaa Aminariff

Apakah hasil pemerhatian anda?

Semua keluarga tinggal di dalam khemah yang diperbuat daripada kanopi, biasa digunakan untuk lori. Khemah kebanyakannya sudah buruk dan tipis, terdedah kepada musim dingin yang teruk. Di kem itu, cuma ada sebuah bilik air berdinding kain, diikat pada empat batang kayu sebagai tiang. Seramai 40 keluarga berkongsi bilik air ini.

Ada yang memilih untuk membuat sendiri bilik air di dalam khemah pada ukuran 2×5 kaki persegi. Bilik air di dalam khemah menimbulkan bau kurang menyenangkan. Tahap kebersihan sangat teruk. Kanak-kanak kotor, kemungkinan disebabkan kurangnya bekalan penjagaan diri seperti syampu, sabun, berus dan ubat gigi. Kuku mereka panjang dan kotor.

Kanak-kanak ini cuma berselipar atau sandal buruk sedangkan mereka seharusnya memakai stokin dan but pada musim dingin sebegitu. Bayi pula mengalami malnutrisi, seperti seorang bayi berusia lima bulan yang saya dukung, keadaannya seperti baru lahir dan terlalu ringan. Seorang ibu hamil lapan bulan, sedang sakit. Tiada seorang pun di kalangan pelarian itu menerima bantuan perubatan. Tiada seorang pun di kalangan kanak-kanak pelarian itu besekolah atau menerima sebarang pendidikan.

Apa yang anda fikirkan sebaik melihat keadaan itu?

Sebaik kami mengunjungi kem di Mafraq dan melihat kondisi dua kem berkenaan dengan keadaan pelariannya, kami tahu kami tidak boleh pulang dengan tangan kosong atau tidak berbuat apa-apa. Cuaca baik ketika itu walaupun suhu berada pada 8 darjah celcius tapi bersalji pada minggu selepas kami pulang. Kerana itu, Tabung Kecemasan ini dilancarkan bagi mengumpul dana dalam masa kurang daripada 72 jam dan respons yang diberikan rakyat Malaysia sangat mengagumkan.

Bagaimana pada hari bantuan kecemasan itu dilaksanakan?

Di Khum Arif, sebaik kami tiba, pelarian Syria segera mengerumuni van yang membawa bekalan . Beberapa lelaki menemui kami, bertanya apakah bekalan yang dibawa. Seorang lelaki memberi isyarat kepada isterinya yang hamil, bertanya apakah yang dapat kami lakukan untuknya kerana dia tidak menerima sebarang pemeriksaan perubatan. Dia nampak terlalu kurus dan tidak sihat untuk ibu hamil.

Semasa kami memasuki beberapa khemah, wanita-wanita tua meminta gas pemanas. Anak-anak dan keluarga mereka jelas menanggung kesengsaraan disebabkan kesejukan. Selain hanya berselipar, pakaian anak-anak itu juga tipis dan tidak mungkin dapat menahan kesejukan musim dingin.

Di Saba Aasiyad, perkara sama berlaku dan sukarelawan KHOM terus memberikan pek bekalan makanan untuk sebulan. Kami dapat menemuramah beberapa kanak-kanak dan seorang pelarian muda yang seolah-olah mewakili kem berkenaan.

Ditanya mahu hadiah apa, kanak-kanak itu jawab , ‘Coklat.’ Kami sayu kerana tahu mereka kelaparan. Mereka cuma mahukan sedikit, mahu makanan untuk hidup. Keadaan agak tegang apabila kami berada lama. Pelarian mula menemui kami dan meminta itu ini. Jelas merkea terdesak kerana sudah lama merana. Kanak-kanak mula menarik baju kami, meminta gula-gula.

Bagi anda, adakah misi ini boleh dianggap berjaya?

Bagi misi kecemasan, di mana KHOM memohon bantuan kepada rakyat Malaysia, ia dianggap berjaya. Malah, sukar untuk dipercayai. Kami merancang untuk membantu dua kem yang membabitkan 75 keluarga dan meningkat kepada 97 keluarga. Rancangannya ialah untuk memberi bantuan bekalan makanan dalam masa tiga hari. Tapi kami hanya ada RM6,000 hasil sumbangan kawan-kawan untuk diberi kepada sekolah-sekolah.

Selepas bertemu Ketua Menteri Mafraq, Abu Hind, KHOM berjanji untuk menghantar bantuan kemanusiaan berupa pek makanan bernilai RM130 kepada 97 keluarga dan ini bermakna, kami memerlukan RM16,000 termasuk bagi urusan pentadbiran dalam masa kurang daripada 72 jam.

Di Khum Arif, saya merakam video memohon ihsan rakyat Malaysia dan pada petang Isnin, video yang siap disunting disiarkan menerusi media sosial. Ia meraih tontontan 50,000 orang dan hasilnya, kami bukan saja dapat menyampaikan bantuan kepada 97 keluarga itu, malah cukup untuk membiayai tambahan 90 keluarga lagi di dua kem berasingan. Sekurang-kurangnya 800 individu, kebanyakannya kanak-kanak dapat mengelak kelaparan atas kemuliaan dan kemurahan hati rakyat Malaysia.

Jadi, menjawab soalan anda, ya. Misi kecemasan ini mencapai kejayaan besar.