Oleh Malaysia Good News

PENDIRIAN Malaysia untuk tidak membenarkan atlet Israel menyertai Kejohanan Renang Para Dunia di Kuching, Sarawak, Julai depan yang juga antara kejohanan kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 menyebabkan penyokong Zionis menyelar Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai anti-Yahudi.

Ia bukan kali pertama biarpun Perdana Menteri ketujuh ini menafikan dia anti- Yahudi, atau Semitik.

Beliau yang lantang mengkritik dasar Israel, terutama membabitkan hubungan dengan Palestin mungkin pemimpin Asean pertama diundang berucap di Kesatuan Oxford, baru ini, namun dialog yang dikendalikan Presidennya, Daniel Wilkinson kemudiannya memperlihatkan kejengkelan komuniti Yahudi dan penyokong mereka.

Ini bukan asing, apatah lagi beliau pernah disenarai dalam Top 10 mereka yang diklasifikasi sebagai anti-Semitik oleh The Simon Weisenthal Centre (Yahudi) pada 2010 berdasarkan “celaan” yang dibuat pada tahun itu.

Tindakan Malaysia mengharamkan penayangan filem Schindler’s List pada 1994 kerana disifatkan sebagai propaganda Zionis juga masih diungkit, sampai kini. Pada usia 93 tahun, beliau bagaimanapun terus konsisten dalam pendiriannya itu dan bertegas, “…kalau mereka tidak suka, mereka boleh mengatakan mereka tidak menyukainya, saya tak peduli.”

Berikut, pilihan 18 petikan kenyataan kontroversi Dr Mahathir berhubung Yahudi dan dasar Israel:

“The Malay Dilemma” oleh Mahathir bin Mohamad, 1970

“Mereka (Yahudi) manusia berhidung bengkok. Ramai orang menggelarkan masyarakat Melayu sebagai berhidung kembang dan kami tidak membantah.”

Sidang Kemuncak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) ke-10, Oktober 2003

“Kita (orang Islam) sebenarnya sangat kuat. 1.3 bilion penduduk bukan mudah untuk dihapuskan. Orang Eropah membunuh 6 juta daripada 12 juta Yahudi. Tapi hari ini Yahudi menguasai dunia menerusi proksi. Mereka menyuruh orang lain berperang dan mati untuk mereka.”

Hanan, chedet.cc, Januari 2009

“Anda boleh kutip semua hadiah Nobel dan lain-lainnya tapi dunia akan memandang rendah kepada anda sebagai manusia primitif yang merompak tanah dengan cara keganasan terhadap si pengkhianat British dan menggunakan pengaruh anda terhadap kuasa terbesar tentera untuk mengopresi mereka yang anda rompak. Anda tidak ada apa-apa yang hendak dibanggakan, kecuali anda bangga tidak berhati perut.”

HARDtalk di BBC, 2011

“Anti-Semitik adalah istilah yang direka oleh Yahudi sendiri. Kita tidak boleh bercakap apa-apa, malah ada wartawan ditahan kerana bercakap suatu yang bertentangan mengenai Holokaus dan dipenjarakan selama tiga tahun. Di mana kebebasan akhbar?”

“Tidak, ia bukan anti-Semitik. Saya hanya memetik fakta. Faktanya ialah Amerika (Syarikat) menurut apa saja yang Israel mahu.”

The Anti-Semitic, chedet.cc, Disember 2014

“Saya bukan anti-Semitik kerana saya tidak menentang Arab dan Semitik lainnya, atau pun Yahudi yang menolak Zionisme. Saya hanya menentang ketidakadilan, menentang opresi dan keganasan melampau. Jika itu menjadikan saya anti-Semitik, maka saya berbangga menjadi anti-Semitik, walaupun terma anti-Semitik itu sangat salah.”

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-73, September 2018

“Peperangan melawan pengganas pada masa ini tidak akan berakhir sehinggalah akar kepada permasalahan itu ditemui, dihapuskan dan hati serta minda rakyat dimenangi. Apa punca sebenar kepada masalah-masalah ini? Pada 1948, tanah penduduk Palestin dirampas untuk membentuk negara Israel. Rakyat Palestin dibunuh beramai-ramai dan dipaksa meninggalkan tanah mereka. Ladang-ladang dan rumah-rumah mereka dirampas.”

“Dunia tidak peduli pun apabila Israel mencabuli undang-undang antarabangsa, merampas kapal-kapal yang membawa ubat-ubatan, makanan dan bahan binaan di perairan antarabangsa. Rakyat Palestin cuba melancarkan roket-roket tetapi tidak memberi kesan dan tidak mencederakan sesiapa. Tetapi tindak balas secara besar-besaran dilakukan Israel, dengan melancarkan bom roket dan mengebom hospital-hospital, sekolah dan bangunan-bangunan lain, membunuh orang awam yang tidak berdosa termasuk kanak-kanak sekolah dan pesakit-pesakit di hospital…”

Gambar dari @chedetofficial

Sidang Media selepas mempengerusikan Majlis Presiden Pakatan Harapan, Oktober 2018

“Orang  Yahudi biasanya mereka hidung tinggi, itu yang saya kata. Mereka rambut kerinting dan biasanya orang Cina tidak suka rambut kerinting. Ini saya bercakap benar, saya tidak peduli saya digelar anti-Yahudi dan lain-lain.”

“Saya hendak tanya mengapa kita tidak boleh mengkritik orang Yahudi sedangkan mereka boleh kritik orang lain tanpa orang lain boleh kritik. Ini yang saya tidak boleh terima. Adakah Yahudi terlalu istimewa sehingga kita boleh berkata apa-apa terhadap mereka?”

Kesatuan Oxford, Januari 2019

“Tetapi di Malaysia, kami  tiada hubungan diplomatik dengan Israel sama sekali. Dan kami tidak fikir mereka perlu datang ke negara ini kerana kami tiada hubungan dengan mereka. Kami rasa mereka melakukan banyak perkara salah tetapi dibiar begitu sahaja kerana tiada siapa yang berani menentang mereka.”

“Kami tidak boleh berbuat apa-apa mengenai kerajaan Israel, mereka sangat berkuasa, jadi kami tidak berkata apa-apa mengenai kerajaan Israel tetapi kami tidak perlu menghulurkan persahabatan kepada mereka… kami ada sempadan yang kami awasi bagi membenarkan orang yang kami suka saja untuk datang ke Malaysia.”

“Saya tidak faham, kita bercakap mengenai kebebasan bersuara tapi anda tidak boleh bercakap apa-apa terhadap Israel, terhadap Yahudi, kenapa pula? Jika kita bebas untuk bercakap apa yang kita suka, kita boleh bercakap mengenai apa yang dianggap sebagai anti-Semitik oleh Yahudi.”

“Ini adalah sebuah kerajaan yang tidak peduli dengan pandangan orang lain, sebab itu mereka terus melakukan jenayah perang sepanjang masa.”

Kenyataan semasa lawatan kerja tiga hari ke Austria, Januari 2019

“Atlet itu datang dari negara yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa. Mereka buat apa sahaja yang mereka suka, termasuklah membina penempatan di negara orang, menceroboh perairan negara lain dan menakluk kapal yang mahu menghantar bantuan ke Gaza.”

“Mereka boleh sertai kejohanan sukan di negara lain tetapi bagi Malaysia, mereka datang dari sebuah negara penjenayah dan kami tidak boleh menerimanya.”