ICELAND berada di tangga teratas antara negara Eropah dengan remajanya yang menjalani kehidupan paling bersih.

Peratusan remajanya yang berusia antara 15 dan 16 tahun yang didapati terjerumus dengan masalah alkohol berkurangan daripada 42 peratus pada 1998 kepada hanya 5 peratus pada 2016. Statistik tahun sama menyaksikan penyalahgunaan ganja turun daripada 17 peratus kepada 7 peratus, selain merokok yang berkurangan daripada 23 peratus kepada 3 peratus sahaja.

Bagaimana?

Apa yang jelas, menurut laporan disiarkan www.theatlantic.com ia bukan kerana pendekatan konvensional menerusi pendidikan mengenai bahaya penyalahgunaan alkohol dan dadah.

Di Malaysia, Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) bersetuju mengubah rang undang-undang bahan khayal bagi tujuan mencegah, merawat dan membolehkan pengawasan terhadap penagih atau pengguna bahan khayal.

Ia diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam usaha menangani masalah penyalahgunaan bahan khayal atau inhalan seperti gam oleh remaja yang disifatkan sebagai “satu masalah sosial yang meruncing apabila ada kanak-kanak seawal usia 10 tahun sudah menghidu gam.”

Bahan khayal termasuk ubat psikotropik dan gam, menurutnya lagi,  tidak dikategorikan sebagai bahan haram tetapi campurannya mengkhayalkan.

Oleh itu, jelasnya, kerajaan sedang  mempertimbangkan secara serius cadangan pelaksanaan perintah berkurung bagi remaja di bawah umur 18 tahun berdasarkan model yang diamalkan di Iceland yang membolehkan ibu bapa mengetahui di mana anak-anak mereka, sekaligus membendung daripada terjebak dalam gejala negatif seperti menghidu gam.

“Mungkin sukar dengan persekitaran negara ini yang mempunyai kedai-kedai makan 24 jam tapi ini kita lihat kerana kita dapat tahu kalangan penghidu gam ini ada yang berusia sangat muda. Kita melihat banyak faktor termasuk keadaan perumahan dan latar belakang pendidikan.,” tambahnya.    Di Iceland, analisa berdasarkan kaji selidik terhadap remaja berusia antara 14 hingga 16 tahun memperlihatkan perbezaan ketara dalam kehidupan remaja antara golongan yang meminum alkohol, merokok dan menghisap dadah.

Ia secara tidak langsung mendedahkan faktor jelas yang dapat membantu mengatasi masalah ini, iaitu:

  • didorong pembabitan di dalam kegiatan terancang terutama sukan, tiga atau empat kali seminggu
  • merasa dipedulikan di sekolah
  • tidak berada di luar rumah pada lewat malam

Pelan nasional, Remaja di Iceland diperkenalkan. Undang-undang diubah, antaranya:

  • larangan bagi pembelian tembakau oleh remaja di bawah usia 18 tahun
  • larangan alkohol oleh remaja di bawah usia 20 tahun
  • iklan tembakau dan arak diharamkan
  • rangkaian antara ibu bapa dan sekolah diperkukuh menerusi persatuan ibu bapa yang perlu ditubuhkan di setiap sekolah, mengikut undang-undang, bersama majlis sekolah dengan wakil-wakil ibu bapa
  • ibu bapa digalak meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak, berbual mengenai hidup mereka, ketahui siapa kawan-kawan anak mereka dan memastikan anak-anak berada di rumah pada malam
  • undang-undang diluluskan, melarang remaja berusia antara 13 dan 16 tahun berada di luar rumah selepas jam 10 malam pada musim dingin dan selepas tengah malam ketika musim panas

Home and School yang memayungi persatuan ibu bapa di peringkat nasional, memperkenalkan perjanjian untuk ditandatangani ibu bapa.

Kandungannya, antara lain bergantung pada usia anak-anak, di mana ibu bapa boleh bersumpah, misalnya tidak membenarkan anak-anak menganjurkan majlis tanpa pengawasan, tidak membeli alkohol untuk remaja bawah umur dan memerhatikan hal kebajikan anak-anak.

Bajet kerajaan negeri juga dinaikkan untuk penganjuran, antaranya sukan, muzik, seni, tarian dan kelab-kelab lain sebagai alternatif untuk remaja merasa menjadi sebahagian daripada satu –satu kumpulan dan gembira dengan dirinya.

Remaja Iceland diperlihatkan bagaimana opsyen berkenaan adalah lebih baik berbanding memilih menggunakan alkohol dan dadah, di mana kanak-kanak daripada latar keluarga susah menerima bantuan untuk mengambil bahagian.

Wan Azizah berkata, selain sekatan keluar rumah terhadap remaja tanpa pengawasan orang dewasa, mesyuarat sama bersetuju undang-undang sedia ada dipinda bagi kesalahan membabitkan penanaman ketum tanpa kebenaran.    “Menanam ketum dibenarkan tapi apabila ia disemai dan dijual, jadi kesalahan,” katanya.

View this post on Instagram

Life is cool without drug abuse 😎

A post shared by Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail (@drwanazizah) on

Gambar IG @drwanazizah