Oleh Malaysia Good News

AIRASIA nampaknya buat kaki kembara, terutamanya tidak keruan apabila syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauhnya, AirAsia X yang baru melancarkan laluan pertama ke Amerika Syarikat (AS), iaitu di Honolulu, Hawaii, membayangkan kota New York sebagai destinasi sasarannya.

Ini, selepas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, mengesahkan AirAsia X telah pun beroleh kelulusan untuk ke San Franciso dan Los Angeles.

Dia, menerusi perkongsian di Instagram @tonyfernandes, memberitahu: “Hebatnya kota New York. Akan segera terbang ke sana. Ada idea-idea hebat untuk AS.”

Sambil merujuk gambarnya yang berdiri di jalanan, membelakangi bangunan Empire State yang menjadi mercu tanda New York, beliau menambah, “AirAsia akan ke San Francisco, Los Angeles dan siapa tahu, mungkin New York.”

Paparan mengenai kemungkinan AirAsia melakukan penerbangan ke New York itu mendapat respons positif daripada pengikutnya, antaranya @syazanaurah yang membalas, “…sudah tiba masanya sebelum kita dapat menaiki teksi kuning mereka, menyanyikan (lagu) Alicia Keys!”

Lucunya, ada juga yang mengakui keinginan untuk New York membuak-buak kerana dipengaruhi filem Home Alone. Siri kedua filem keluaran 1992 itu, Lost In New York, menampilkan lakonan MacCauly Culkin sebagai Kevin McCallister yang melalui pengembaraan hebat selepas dia terpisah daripada keluarganya di lapangan terbang dan secara tidak sengaja menaiki pesawat ke New York, sendirian.

Dan tidak kurang yang mencadangkan syarikat itu mempertimbangkan untuk membuat penerbangan ke Rusia pula.

AirAsia, menerusi satu kenyataan terdahulu oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Benyamin Ismail, mengumumkan kesediaan syarikat berkenaan menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai (KIX) di Osaka, Jepun sebagai hab untuk penerbangan ke AS.

AirAsia X terbang empat kali seminggu dari Kuala Lumpur ke Honolulu melalui Osaka.

Ini, katanya berikutan kejayaan laluan pertama AirAsia X ke Hawaii yang menyaksikan faktor muatan sehingga 86 peratus, melebihi jangkaan, bagi tempahan sehingga Oktober depan dan perlu dikekalkan konsisten dalam tempoh setahun.

“Ini baru permulaan. Jika permintaan ke Honolulu amat tinggi, kami akan mempertimbangkan untuk memperkenalkan lebih banyak laluan, khususnya ke Pantai Barat AS, termasuk Los Angeles dan San Francisco.

“Matlamat utamanya adalah untuk menjadikan Kansai sebagai hab antarabangsa kami ke AS,” katanya, seraya menyifatkan Hawaii membuka peluang AirAsia untuk memperkenalkan lebih banyak laluan ke AS yang selepas ini hanya membabitkan proses rasmi, termasuk mendapatkan kelulusan Lembaga Pengangkutan Udara Persekutuan (FAA).

Tony, sebelum itu, menerusi satu paparannya, berkongsi berita pendaratan pertama AirAsia di Honolulu, berkata, “Semasa kami memulakan Air Asia, 17 tahun lalu, saya tidak pernah termimpi kami akan terbang ke AS.

“Saat membanggakan buat saya apabila melihat pesawat kami di Hawaii.”

Gambar IG @tonyfernandes