IA adalah panggilan yang barangkali tidak pernah dimimpikan Abdul Hafiz Abdul Rahman, 31.

Digelar Katun, artis kelahiran Kajang ini mungkin masih sukar untuk mempercayai kolaborasinya dengan penyanyi R&B popular Amerika, Chris Brown sememangnya benar.

Bukti, malah sudah nyata. Pelancaran Single berjudul Undecided melonjakkan Brown kembali ke persada muzik dunia sebagai pembuka 2019, sekaligus menampilkan karya seni sentuhan Katun yang turut dikongsi penyanyi berkenaan di akaun Instagram @chrisbrownofficial dengan 49.5 juta pengikut itu pada 4 Januari lalu yang sehingga kini, sudah mencatat tontonan lebih 1.7 juta.

“Memulai 2019 saya dengan karya seni, kolaborasi untuk single baru @chrisbrownofficial #undecided,” katanya menerusi satu posting di akaun Instagram @katun_ yang memaparkan beberapa lukisannya, termasuk di pertengahan proses menyiapkannya.

Undecided dilancarkan bersempena album baru Brown, Indigo yang dijadual memasuki pasaran, Februari ini.

Karya Katun dengan warna-warna terang yang menjadi trademark beliau, dilihat  berupaya mentafsirkan dilema yang dihadapi Brown menerusi lagu berkenaan yang menyentuh mengenai sebuah perhubungan dan arah seterusnya.

Seorang lelaki digambarkan berdepan dengan satu sosok berjubah, menyeringai sambil menyuakan pilihan kepadanya yang dikelilingi empat pintu yang merupakan jalan kepada ketakutan, cinta, empati dan pengorbanan.

Gambar IG @katun_  @chrisbrownofficial

Bukan asing dalam senario grafiti Malaysia, Katun di dalam satu temubual, memberitahu dia diberi kebebasan sepenuhnya dalam menghasilkan karya seni berkenaan.

“Pada dasarnya, saya diberitahu Chris Brown inginkan ‘sesuatu yang misteri, sesuatu yang menonjol,” katanya.

“Jadi, saya memberikan beberapa lakaran yang mereka boleh pilih. Dia kemudiannya memilih lakaran yang memaparkan seorang penjaga yang boleh dilihat sebagai representasi mengenai bagaimana sukarnya untuk membuat pilihan di dalam hidup, atau untuk tahu apa yang terbentang di hadapan.”

Komen netizen di akaun @katun_ antara lain menyifatkan karyanya itu hidup, menonjolkan lirik lagu berkenaan begitu sempurna sekali.