LAUNGAN “Daulat Tuanku” bergema bagi menyempurnakan istiadat pemasyhuran Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Sultan Pahang keenam, selepas lebih 40 tahun, di Istana Abu Bakar, Pekan pada pagi 15 Januari.

Pemasyhuran Sultan Abdullah disifatkan antara paling bersejarah dalam institusi Kesultanan Melayu era ini apabilamajlis istiadat berkenaan dilaksanakan semasa Paduka Ayahanda baginda, Sultan Ahmad Shah sedang gering.

Ia malah, dikaitkan dengan perletakan jawatan Sultan Kelantan Sultan Mahmud V sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 6 Januari lalu, sekaligus menyebabkan kekosongan Ketua Negara. Tempoh penggiliran Sultan Mahmud V seharusnya tamat pada 2021.

Diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal Pekan, Sultan Abdullah merupakan cahayamata keempat dan putera sulung Sultan Ahmad Shah dan Almarhum Tengku Ampuan Afzan Tengku Muhammad.

Baginda dua kali menjadi Pemangku Raja Pahang iaitu seawal usia 20 tahun, pada 28 April 1979 selepas Sultan Ahmad Shah dilantik Yang di-Pertuan Agong VII dan kedua, pada 28 Disember 2016 semenjak kesihatan ayahanda baginda mulai merosot.

Berikut, 10 Fakta berhubung pemasyhuran Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang:

  • Pemasyhuran Sultan Abdullah diputus dan dipersetujui sebulat suara oleh kerabat diraja Pahang dan ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri kali ke-110 pada mesyuarat Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Pahang di Kuala Lumpur, 11 Januari lalu berikutan keadaan Sultan Ahmad Shah yang sedang gering dan tidak lagi boleh memikul tugas serta tanggungjawab sebagai pemerintah.
  • Mesyuarat, antara lain memutuskan kelulusan diberi  berhubung pindaan bahagian 1 Perkara 9 A Undang-undang Tubuh Negeri Pahang untuk memberi kuasa kepada Jumaah Pangkuan Diraja Pahang menurunkan takhta raja kerana kegeringan besar dan berat selepas disiasat, berkuatkuasa pada 11 Januari 2019.
  • Satu media khas diadakan di Istana Abu Bakar, sebelum itu, di mana Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, antara lain menjelaskan: “Dalam keadaan sedih dan dukacita, saya dan keluarga menerima hakikat Paduka Ayahanda saya tidak lagi boleh memikul tugas dan tanggungjawab sebagai raja pemerintah.”
  • Sultan Ahmad Shah, menurut Tengku Abdul Rahman, sebaliknya diisytiharkan gelaran Duli Yang Maha Mulia Ayahanda Sultan Ahmad Shah, “bersesuaian dengan keprihatinan dan sifat kebapaan Ayahanda Sultan kepada rakyat Pahang keseluruhannya. Tiada apa yang lebih dekat di hatinya selain daripada rakyat.”
  • Pemasyhuran diumumkan pada 15 Januari di Balairung Seni, Istana Abu Bakar oleh Tengku Abdul Rahman yang juga merupakan adinda Sultan Abdullah yang membacakan Pengisytiharaan Perlantikan Raja di bawah Perkara 9A Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang (Bahagian Pertama).
  • Atas titah Sultan Abdullah, istiadat pemasyhuran Sultan Pahang buat pertama kalinya mendengar laungan “Allahuakbar!” sebanyak tiga kali, sebelum laungan “Daulat Tuanku!” bergema pada majlis istiadat bersejarah itu.
  • Ini adalah istiadat pemasyhuran pertama membabitkan takhta Kesulatanan Melayu Pahang selepas lebih 40 tahun yang mengikut adat, biasanya berlangsung selepas kemangkatan Sultan yang memerintah.
  • Istiadat pertabalan Sultan Abdullah hanya akan diadakan dalam tempoh setahun daripada perlantikannya.
  • Permasyhuran Sultan Abdullah melayakkan baginda dalam senarai pemilihan sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI pada 24 Januari ini di Istana Negara pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi tujuan memilih Yang di-Pertuan Agong baharu berikut perletakan jawatan oleh Sultan Mahmud V.
  • Jika mengikut giliran negeri, perlantikan Yang di-Pertuan Agong selepas Kelantan adalah Pahang, diikuti  Johor dan Perak. Junior di antara barisan sembilan Raja dan Sultan negeri, Sultan Abdullah tetap layak dicalonkan kerana status baginda sebagai Sultan yang bersemayam di atas takhta kerajaan negeri, tambahan perlantikan tidak mengikut senioriti.