SUDAHLAH comel, nama pula klasik habis. Serahkan kepada Loque, penyanyi dan gitaris terkenal yang punya cara tersendiri dalam memperjuangkan budaya bangsanya, termasuk menerusi pemberian nama anak-anaknya.

Melor Pelangi Merdu merupakan nama pilihan Loque, 42, dan isteri, Dahlia Nadirah Juhari, 33, untuk bayi ketiga mereka yang dilahirkan pada 20 Disember, tahun lalu.

“Keluarga kecil kami telah dikurniakan karya agung edisi ke-3 saya dan isteri, Melor Pelangi Merdu namanya diberi,” kata Loque atau nama sebenarnya, Khairil Ridzwan Annuar yang berkongsi berita gembira itu di Instagramnya.

“Moga-moga kehidupan dunia kami sekeluargas elepas ini diwarnai beraneka warna serta disulami bunyi-bunyian bak buluh perindu hendaknya dengan kehadiran anakanda Melor Pelangi Merdu. Amin.”

Gambar Instagram @antiloque @dahlianadirah

Diperkenalkan ke arena seni sejak 1993 sebagai sebahagian daripada anggota Butterfingers, Loque meneruskan perjuangannya dalam seni kemudiannya dengan  menubuhkan MonoloQue yang bergenre pop dan nusantara, bersama himpunan lirik puitis dan sastera.

Tahun lalu, dia menambah warna pada dunia seni tempatan apabila muncul dengan album piring hitam berjudul Jangan Puja Sampai Kecewa, selain album baru, Peristiwa Kampung Baru yang hanya boleh didapatkan melalui platform digital.

Loque dan Dahlia Nadirah yang bernikah pada 28 Januari 2010, juga mempunyai dua anak lain iaitu Anggerik Dang Jelita, 6 dan Seroja Dewi Harapan, 2.

Menarik apabila Dahlia Nadirah, melalui satu posting di Instagramnya mendedahkan bagaimana dia mengamalkan rejim berpantang yang ketat selepas melahirkan dengan ibunya sendiri dijadikan sebagai pendorong.

“Saya sudah melihat bagaimana ibu, pada usia 60 tahun, penuh bertenaga, jarang sakit urat atau lenguh badan, dia kelihatan lebih muda daripada usia sebenar dan dialah sebab utama kenapa saya percaya dalam berpantang,” katanya.

“Ibu jaga makan, ambil segala herba, minum air akar kayu dan sebagainya. Bukan soal hanya nak perut leper atau nak kurus, tapi bagaimana anda merasa daripada dalaman.”

Semasa masih hamil, pengusaha kosmetik ini juga menerusi satu posting berasingan, mengimbas bahawa Loque mulanya menggelar bayi mereka Gelora.

“Saya suka juga (nama Gelora) tapi saya rasa ia mempunyai konotasi yang negatif, terutama dalam budaya Melayu,” katanya sebelum mereka memutuskan untuk menamakan bayi perempuan itu dengan nama sekarang.

Lucu, apabila Dahlia Nadirah mengulas nama bayi baru mereka yang panjang itu dengan menulis: “Oh, good luck sayang apabila hendak isi borang esok. Tapi tak apa, masa itu nanti InsyaAllah harap-harapnya semua dah guna komputer.”