RM5 juta ditawarkan seorang jutawan untuk Proton Saga biru berusia 34 tahun dengan plat Proton 1 yang baru ini membuat kemunculan semula selepas dipandu Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Baginda berkenan menghantar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada 10 Januari lalu, selepas menerima mengadap Perdana Menteri ketujuh itu di Istana Bukit Serena, Johor Bahru pada 10 Januari lalu.

Proton Saga edisi pertama itu dihadiahkan oleh Tun Dr Mahathir yang ketika itu belum lama dilantik menjadi Pertama Menteri keempat, kepada Almarhum ayahanda Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail pada 1985.

Tawaran RM5 juta itu dikongsi menerusi satu posting di FB milik ahli perniagaan, Datuk Seri Zaienal Abidin. Dia bagaimana enggan mendedahkan siapa jutawan berkenaan yang membuat tawaran berdasarkan nilai dan sejarah, antaranya ia dipandu oleh dua Sultan selain dinaiki Tun Dr Mahathir yang dua kali menjadi Perdana Menteri.

Gambar FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Berikut adalah 10 fakta menarik mengenai asal usul Proton Saga:

  • Projek Kereta Nasional mendapat kelulusan Kabinet pada 1982 yang menyaksikan sebuah kilang pembuatan dibangunkan di Shah Alam bagi mengeluarkan Proton Saga. Idea dicetuskan Tun Dr Mahathir seawal 1979, ketika dia masih memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.
  • PROTON, singkatan kepada Perusahaan Otomobil Nasional, secara rasminya ditubuhkan pada 7 Mei 1983 dengan model pertama syarikat automotif sulung Malaysia itu dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir pada 1 September 1985.
  • Ia direka berdasarkan Mitusbishi Lancer Fiore 1983 keluaran Jepun hasil usahasama antara PROTON dan Mitubishi Motors sebagai usaha Tun Dr Mahathir untuk membangunkan industri automotif di Malaysia. Beliau merupakan pengasas dan Pengerusi PROTON sebelum melepaskan jawatannya pada Mac 2016.
  • Saga diilhami seorang tentera, Staf Sarjan Ismail Jaafar pada 1985 yang ketika itu berkhidmat di Markas 2 Divisyen di Pulau Pinang menerusi satu pertandingan bagi menamakan kereta nasional pertama negara yang disertai 102,823 orang. Di sebalik kepercayaan bahawa nama itu bersempena tumbuhan, Adenanthera pavonina yang lebih dikenali sebagai biji saga yang banyak didapati di Malaysia, dia beroleh idea ketika bermain Scrabble bersama beberapa temannya berdasarkan akronim Safety (keselamatan), Achievement (pencapaian), Greatness (keagungan) dan Ability (kebolehan). Ismail yang diumumkan pemenang pada 18 April 1985 pada keraian ulang tahunnya yang ke-38 kemudiannya menerima Proton Saga 1.3 liter 4 pintu bewarna biru muda yang dianggapnya sebagai “hadiah hari jadi paling hebat.” Beliau meninggal dunia pada Januari, tahun lalu.
  • Proton Saga edisi pertama, menurut laman web Perpustakaan Negara Malaysia, dikeluarkan dalam dua kelas iaitu 1.3cc dan 1.5cc, dijual pada harga antara RM21,000 hingga RM23,000 (termasuk cukai di atas jalan). Pengeluaran awal adalah dalam warna biru muda, biru tua, coklat, putih serta merah dalam bentuk metalik dan cat biasa.
  • Saga merupakan kereta paling laris di Malaysia dengan pengeluaran ke 10,000 diraikan dalam masa setahun selepas dikeluarkan. Laman web Proton menyebut antara pasaran awal Proton Saga ialah Singapura.
  • Menjelang 1987, lebih 50,000 unit Proton Saga dihasilkan dan diedarkan ke  Bangladesh, Brunei, New Zeland, Malta dan Sri Lanka sebelum kereta itu kemudiannya berjaya menembusi pasaran United Kingdom (UK).
  • Proton Saga buat kemunculan awal di UK menerusi British International Motorshow pada Oktober 1988, di mana ia memenangi tiga anugerah berprestij bagi mutu, coachwork dan ergonomiks. Pada 1991, Saga sekali lagi memenangi dua anugerah amas di pertunjukkan yang sama.
  • Pada 1996, PROTON mengeluarkan keretanya yang ke sejuta.
  • Edisi pertama Proton Saga dihasilkan selama 23 tahun, menjadikannya model dengan produksi paling lama, membabitkan  model saloon empat pintu atau hatchback lima pintu sebelum diambil alih edisi kedua pada 2008 sempena pengeluarannya yang ke 3 juta, pertama kali menggunakan logo hitam dan krom.