“SAYA tak akan lupakan senyumannya,” kata Mohd Nasir Mohd Zain, 43, guru Pendidikan Islam di sebuah sekolah rendah di Sungai Petani, Kedah, yang tular dengan ceritanya membelikan persalinan baru untuk seorang muridnya yang memakai seragam dan kasut besar serta lusuh ke sekolah.

“Sebagaimana saya sebak setiap kali mengingatkan semasa saya mengangkat kaki seluarnya dan melihat… MasyaAllah! Biar pun terpaksa heret saja kaki kerana kasutnya terlalu besar, budak ini tetap ke sekolah. Saat itu, saya nampak dia sudah seperti anak saya.

“Emosi saya terganggu. Saya hanya tahu, saya mesti bantu dia.”

Perkongsian Mohd Nasir di Fbnya yang tular, baru ini, sememangnya bukan suatu yang dijangkanya.

“Tanpa dirancang, spontan,” jelasnya yang membawa murid itu, Mohd Akib Jebat Hasni, 9, ke kedai pada hari ketiga persekolahan dibuka untuk membelikan seragam dan kasut baru selepas beroleh keizinan pihak sekolah. “Saya minta jurujual gosokkan seragamnya, tak mahu kusut. Saya tengok dia sarung kasut, baju baru.

“Di dalam kereta, mukanya mula ceria. Senyuman dia hari itu, bagi saya, cukup mahal.”

Dia, ketika dihubungi, mengakui berkongsi di FB supaya kegigihan anak ketiga daripada empat beradik itu, antara lain menjadi dorongan bahawa kemiskinan tidak seharusnya menghalang seseorang itu untuk menimba ilmu. Ini kerana, hanya dengan ilmu, katanya seseorang dapat membangunkan dirinya.

“Saya tak jangka perkongsian di FB itu meraih perhatian ribuan orang. Ini suatu yang baru bagi saya kerana saya bukannya artis. Saya baca posting itu berulang kali kerana risau apakah saya ada melakukan kesilapan.

“Selepas diyakinkan bahawa saya tidak berbuat salah, barulah saya rasa lapang. Niat saya belikan murid itu baju dan kasut baru untuk memotivasinya agar terus menuntut ilmu agar apabila dia besar nanti, dia pula bantu orang lain.”

Gambar Ihsan Mohd Nasir Mohd Zain

Sabtu lalu, Mohd Nasir berkunjung ke rumah sewa keluarga Mohd Akib di Tikam Batu, Sungai Petani untuk bertemu bapanya, Hasni Elias, 39, seorang pengawal keselamatan. Kedua ibu bapa murid itu tidak tahu menahu mengenai cerita anak mereka yang tular.

“Ibu bapanya terkejut kerana cikgu datang ke rumah mereka. Saya ceritakan apa yang berlaku kerana bimbang mereka tidak suka cerita dan gambar anak mereka tersebar. Tapi, kata bapanya, ‘Tak apa, Ustaz. Tak ada masalah, malah saya bersyukur kerana orang mahu menolong,” katanya yang turut membantu menguruskan pembukaan akaun suami isteri itu bagi memudahkan bantuan disalurkan.

“Bapa murid itu senyum saja, katanya dapatlah nanti dia belikan seragam baru untuk dua lagi anaknya selain digunakan bagi pendidikan dan hidup seharian. Selepas tular cerita, saya tertarik hati kerana perkongsian ini menyentuh hati ramai orang, tanpa mengira bangsa, bersatu.

“Simpati dan keprihatinan rakyat Malaysia berada di luar kotak pemikiran saya.”

Sembilan belas tahun bergelar guru, Mohd Nasir yang mempunyai latar bimbingan kaunseling, selain bersandarkan pengalaman, tahu jika ada murid berdepan masalah namun apa yang dilalui bersama Mohd Akib adalah pengalaman pertama buatnya.

“Tularnya cerita ini yang menyebabkan masyarakat ingin membantunya, jadi  itu rezeki keluarganya. Rezeki saya pula, orang doa untuk saya. Saya baca, mereka doakan saya panjang umur, dimurahkan rezeki. Itu, bagi saya, cara Allah balas.

“Kedaifan dia, rezeki saya. Allah tak bagi saya cash, tapi Dia buat orang mendoakan saya. Doa itu yang saya mahu,” katanya.

Nada suara Mohd Nasir mula tersekat-sekat apabila dia mengimbas saatnya melihat kasut besar yang disarung muridnya itu.

“Saya sebak setiap kali mengingatkannya, terutama apabila memikirkan anak sendiri yang baru hilang pensil, sudah merajuk tak mahu ke sekolah. Kasut putih jadi sedikit hitam kerana terkena kotoran pun sudah enggan pergi sekolah.

“Sedangkan budak ini, seluar tahun lepas milik abangnya yang kini menuntut di Tingkatan Satu dan terlalu besar itu dipakai juga walaupun tanpa tali pinggang dan terpaksa dipegang sepanjang masa. MasyaAllah! Jika terlepas, memang terlondehlah,” katanya, perlahan.

“Saya mahu budak-budak sekarang, terutama anak-anak saya faham dan melihat kekentalan semangat budak ini.”