“DAH macam P Ramlee dengan Sudin,” Mohd Nazri Sulaiman dipetik lewat kapsyen di FBnya pada sekeping gambar bidikannya, memperlihatkan seorang remaja yang berlenggeng bersama seekor kambing, berlatar kehijauan padang.

Dia, remaja sama yang menjadi subjek jurugambar itu menerusi gambar beremosi di antaranya dan sekumpulan kerbau yang tular selepas dinobat antara 20 gambar terbaik dunia bagi anugerah berprestij Siena International Photography Awards 2018 dalam kategori Remarkable Award in Fascinating Faces and Characters.

Digelar “Sharing Emotion”, ia turut meraih anugerah di Asian Geographic: Images of Asia (IOA) 2018 bagi Kategori Street/ People.

Lalu subjek yang secara tiba-tiba mencuri hati dunia itu, berlegar dengan pelbagai jolokan, antaranya Mowgli, bersandarkan karektor budak hutan yang dibesarkan oleh sekumpulan serigala dalam pengkisahan Jungle Book.

Bukan Mowgli, bukan Dr Doolittle.

Tapi Syukor Khamis, 14, budak kampung yang gemar bergelumang dengan lumpur bersama kumpulan kerbau peliharaan ayahnya, Khamis Jusoh, 63, di kandang mereka di Kampung Kubang Bujuk di Kuala Terengganu, Terengganu.

“Syukor ini anugerah Allah pada keluarga dia sebab dalam sejuta orang pun susah nak jumpa budak macam dia,” jelas Mohd Nazri, mengimbau pengalamannya sepanjang merakam jalinan emosi antara remaja itu dan teman-teman haiwannya.

Dan tidak hanya kerbau, tegasnya.

“Kambing, lembu, angsa, burung semua kawan-kawan dia. Dia orang bergurau macam kawan sekolah,“ katanya.

“Tak pernah saya jumpa seorang budak yang boleh berkawan dengan 70,80 ekor kerbau (tidak dicucuk hidungnya) dalam satu masa. Mereka (kerbau) dah kenal dah dengan Syukor ni. Sesetengah kerbau ada namanya seperti Awang (sudah mati), Semek, Baba dan kambing ini namanya Boy.

“Kambing pun dia boleh ajak main gusti.”

Mohd Nazri yang berlatar pendidikan dalam Kejuruteraan Mekanikal, sepertimana dipetik kampusuols.com, mengimbas saat dia merakam gambar yang memberinya anugerah itu, berkata: “Pada ketika Syukor memujuk, membelai haiwan itu ditambah kerbau yang berada di belakang mengerumuni seolah-olah mahu memujuk mereka dan pada ketika itu saya dapat merasakan ia adalah momen yang terbaik perlu diambil dengan segera.”

Suasana kampung yang melatari kehidupan masyarakat Melayu yang diperlihatkan Mohd Nazri dan ironi emosi yang dimeterai antara Syukor yang sering dalam keadaan berlenggeng dan berkaki ayam bersama kerbau-kerbau bertubuh sasa dengan tanduk yang sekilas tampil ngeri, telah buat banyak hati tersentuh.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, menerusi satu posting di FB miliknya, antara yang melahirkan kekagumannya terhadap pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu itu.

“Rasa kedamaian, ketenangan dan kegembiraan tidak dapat ditafsirkan oleh benda dan harta tetapi oleh perasaan kasih sayang dan rahmat,” jelasnya, merujuk keakraban remaja itu dan kerbau-kerbau peliharaan bapanya yang diambil Mohd Nazri itu.

Ia, menurutnya lagi, “Sesungguhnya kehidupan dinilai dengan perasaan yang penuh dengan sakinah, mawaddah dan rahmah sebagai tanda kebesaran ayat Tuhan dalam membina keluarga seperti yang termaktub dalam surah Ar-Rum ayat 21.”

Syukor dikatakan sudah biasa mengikuti bapanya ke kandang, bergelumang lumpur, seawal usia empat tahun. Bongsu daripada lapan beradik, kemenangan Mohd Nazri dikongsi dengan rasa gembira kerana baginya ia mengubah persepsi negatif orang terhadap pekerjaan bapanya yang menjadi penternak sejak 30 tahun lalu.     Bukan duit yang diharapkan, katanya dalam satu temubual. Cukuplah kalau dia dapat membuat bapanya bangga dengan tularnya gambar berkenaan dan apa yang lebih menggembirakan ialah apabila memikirkan bapanya tidak akan dihina lagi kerana membela kerbau.