“ADA class, tak lapuk dek zaman,” kata Yuna mengenai kecenderungan fesyen pilihannya.

Dan Yuna, lambang wanita Asia yang independent, ikut dizahirkan menerusi koleksi Yuna x Christy Ng bagi kasut dan beg saddle yang merupakan kolaborasi sulung antara penyanyi popular itu dengan pereka kasut, Christy Ng.

“Sesuatu yang boleh dipakai selamanya,” katanya, menghurai lanjut. “Orang tak tahu, saya sebenarnya bukan seorang yang mengikuti trend sangat. Lagi penting bagi saya ianya ada class dan elegan kerana itu yang akan kekal, dan itu yang diajar ibu kepada saya.”

Senyum, seraya membetulkan subang rona emasnya, dia diam seketika seolah membiarkan penampilannya pada petang itu – jaket ungu yang dipadan dengan sepasang seluar senteng rona emas, bertopi hitam dan selesa dengan mules pastelnya yang bermuncung tirus – diamati.

Dan ya, kasut yang lapang di bahagian belakang itu yang dipadan dengan sarung kaki hitam.

“Cantik kan, selesa,” kata penyanyi itu yang kini berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) , gembira memperagakan koleksi terhad Yuna x Christy Ng pada pertemuan di majlis pelancarannya di Bukit Bintang City Centre, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Dari Instagram ke dunia fesyen, keterujaan pelantun lagu Terukir di Bintang itu dengan koleksi beg dan kasut telah mencetuskan satu kolaborasi yang unik antara dua anak tempatan ini.

“Dan Christy Ng, bagi saya, paling power,” kata Yuna mengenai rekaan pengasas syarikat kasut atas talian, ChristyNg.com itu yang dikenali dengan koleksi kasut custommade buatan tangan selain kasut kahwin dan tumit tinggi, sejak 2010.

“Ini satu sudut budaya yang saya ingin teroka, (bakat) daripada negara kita sendiri.”

Jelas Yuna, segalanya bermula selepas dia membeli kasut Chisty Ng pertamanya, awal tahun lalu. Dia berkata, “Saya jatuh cinta dengannya. Saya kerap melihat fotonya di Instagram, mengagumi rekaannya yang sering hadir dalam pelbagai rona cantik.

“Satu malam, saya menghantar pesanan peribadi kepadanya di Instagram. Semasa berbual itu, saya lontarkan, mahu tak kalau kita bekerjasama?”

Enam bulan kemudian, Yuna x Christy Ng pun jadi kenyataan.

“Yuna seorang yang sangat berdisplin,” kata Ng mengenai bintang antarabangsa itu. “Sangat bekerja keras. Yuna di Los Angeles, saya di Kuala Lumpur. Kami berbincang atas talian, bekerja sampai lewat malam, berdiskusi untuk menjadikan impian ini satu kenyataan.“

Ditanya, siapa yang disasarkan untuk koleksi mules yang dihadirkan dalam lima rona ini, Yuna berkata, “Pelajar kolej, wanita berusia 30an… seperti saya.” Seraya ketawa kecil, dia menambah, “Ia sangat selesa, praktikal dan bergaya.”

Ng kemudian menjelaskan, dia dan Yuna ingin melakukan sesuatu untuk setiap orang.

“Daripada gadis berusia 18 tahun kepada mak-mak kita. Kami mahukan suatu yang praktikal tapi masih bergaya, ibaratnya sesuatu yang dapat digayakan oleh seorang seperti Yuna dari siang ke malam, dan pada masa sama boleh dipakai juga oleh ibunya.

“Direka dengan memikirkan wanita Asia yang gemar dengan pumps dan selipar mereka, selain faktor bunion pada kaki wanita Asia yang juga kebanyakannya bersaiz lebar, menghasilkan rekaan sempurna untuk kita, wanita Asia,” katanya.

Keutamaan fungsi menjadi kunci kekuatan mules Yuna x Christy Ng, menampilkan tumit dengan ketinggian kurang daripada dua inci yang membolehkan pemakainya tampil tinggi tanpa perlu mengorbankan keselesaan. Rekaan muncungnya yang tirus pula memberi ilusi sepasang kaki yang panjang.

Selain kasut, koleksi berkenaan juga meliputi bag saddle dalam tujuh rona dengan panjang tali boleh diubahsuai.

Yuna, secara peribadi, menurut Ng adalah inspirasi, bukti orang Malaysia juga boleh mendunia dan pendekatan atas talian yang dipraktik membolehkan jenama Christy Ng menerobosi pasaran 30 negar, sekaligus diyakini  bakal meledakkan koleksi berkenaan.

“Bukan Asia saja, malah pasaran AS juga dengan golongan hijabis yang sentiasa mengikuti perkembangan fesyen saya,” kata Yuna.     Setiap koleksi dijual pada harga RM189 dan boleh didapatkan di www.christyng.com