Oleh Malaysia Good News

Tular Video Kejutan Tahun Baru Untuk Seorang Bapa Yang Dihadiahkan Kereta Baru Pertama Oleh Anaknya.

HASIM Abdul Karim merupakan seorang peneroka di Felda Kahang Timur, Kluang di Johor. Bertahun membanting tulang, membesarkan lapan anaknya, doanya agar mereka sentiasa dilindungi Tuhan, berjaya dunia dan akhirat.

Dan dia tidak pernah meminta apa pun balasan materi kecuali berharap kasih sayangnya dan isteri, tidak dipersiakan.

“Saya memang tidak sangka. Saya terkejut,” akuinya, jujur apabila mengimbau videonya menangis kala menerima kunci sebuah kereta Proton Bezza bewarna biru daripada seorang anak lelakinya yang diteriak Wan, 34, yang tular hasil perkongsian di Facebook oleh anak bongsunya, Azie Haziyah.

Dihadiahkan sebuah kereta baru, pertama dan dalam warna kegemarannya pula, menurutnya tidak ubah seperti mimpi.

“Sehari sebelumnya, Wan menghantar pesanan, esoknya dalam jam 9 pagi ada orang nak hantar barang. Saya bercerita pada isteri dan kebetulan, anak perempuan saya beritahu dia juga dapat daripada Pos Laju berhubung penghantaran barang milik seorang anak lelaki kami yang baru meninggal, Oktober lalu,” katanya, ketika dihubungi.

Kala itu, menurut Hasim, dia menyimpulkan barang yang dimaksudkan adalah milik anak ketiganya yang meninggal itu.

“Isteri saya sedih dan menangis, bertanya kenapa mahu dihantar ke kampung. Esok paginya, ketika berbaring, anak saya datang dan bertanyakan kunci kereta Kelisa kerana katanya perlu dialih, ada lori mahu masuk untuk hantar barang.

“Saya hairan, besar sangat ke barangnya sampai kena alih kereta. Anak saya sebaliknya minta saya menolongnya dan menyuruh saya pakai baju, minta tolong ambil barang.

“Di luar, saya bertanya mana barangnya. Dia memberi saya kunci, katanya ‘Nah, Abah.’ Saya bertanya, kunci apa ini dan katanya, itu hadiah daripada dirinya dan adik perempuannya, Anie. Katanya, mahu balas balik jasa abah dan mak.

“Saya sebak, rasa macam mimpi. Kata anak saya, abah tak mimpi, memang betul. Biar pun katanya, hadiah kereta itu tidaklah sebesar pengorbanan abah dan mak yang membesarkan mereka lapan beradik. Saya menitis, tergamam. Tak perasan saya menangis teresak-esak. Rasa sebak bercampur gembira.”

Di dalam solatnya, datuk kepada 20 cucu ini juga memberitahu dia sentiasa mendoakan kesejahteraan anak-anaknya.

“Bukan mahu bermegah, tapi selepas solat saya tidak pernah lupa berdoa untuk anak-anak supaya mereka hidup gembira, diperluaskan pintu rezeki, dapat pekerjaan yang baik dan meraih pangkat. Juga buat anak bongsu yang masih menuntut, saya sering solat di tengah malam mendoakan kejayaannya,” jelasnya.

Hasim berkata, pemberian  kereta Proton Bezza itu juga mungkin sebagai pengubat dukanya yang dikhabarkan mengenai kematian anak ketiganya disebabkan serangan asma, pada hari dia dan isteri kembali dari Tanah Suci bagi mengerjakan umrah.

Kali terakhir dia bertemu anaknya itu yang digelar Uda ialah pada 15 Oktober lalu, pada hari dia mahu berangkat ke Mekah.

“Dia lewat untuk menghantar saya, tapi dia kejar juga sampai ke Simpang Renggam, di mana dua anak saya termasuk Wan sedang menunggu. Ketua rombongan kami, ketika melihat saya mahu meninggalkan kumpulan, bertanya dan saya beritahu, mahu berjumpa anak sekejap,” katanya, mengimbas pertemuan terakhir itu.

Suara Hasim mula berubah. Dalam keadaan sebak, dia meneruskan: “Dia peluk saya erat sekali dan berkata, ‘Mak dan Abah jangan risau. Uda sayang abah dan mak. Sampai sana (Mekah), doakan Uda biar sihat. Dia menangis.

“Dia tak beritahu dia masuk hospital walaupun saya ada bertanya anak lain, kenapa rupa Erry (arwah) seperti tidak sihat. Saya tidak sangka dia akan pergi. Itulah pertemuan terakhir kami. Patutlah dia memang nak juga berjumpa.”

Setengah jam sekembalinya dia ke tanahair, dia diberitakan mengenai anaknya itu dimasukkan ke hospital. Kerana masih keletihan, dia memutuskan untuk menziarahinya pada esok saja namun pada kira-kira jam 7 petang, dia dimaklumkan bahawa anaknya itu yang juga bapa kepada empat anak sudah meninggal dunia.

“Saya memang doakan dia selalu,” katanya. “Saya dengar hati unta elok untuk penghidap asma, jadi di Mekah saya cari hati unta untuk sembuhkan dia. Saya beli susu unta dan hati unta, 10 paket, saya bawa pulang. Tapi hajat saya tidak kesampaian.

“Hadiah kereta itu mungkin (anak) mahu hiburkan saya, tapi jelasnya, dia dan adiknya sudah merancang lama kerana selama ini, saya hanya memandu kereta terpakai. Dia nak lihat saya bawa kereta baru, juga sebagai membalas jasa walaupun katanya tidak akan terbalas pengorbanan mak dan abahnya membesarkan mereka adik beradik.

“Saya terima pemergian anak kami sebagai ketentuan Ilahi, tapi saya juga bersyukur kerana dikurniakan anak-anak yang mengasihi orang tuanya. Saya tidak minta apa-apa balasan daripada anak-anak, cukuplah Tuhan memelihara mereka.”