BUKAN rahsia, kewujudan belia di jalanan seperti kumpulan penunggang basikal lajak yang dianggap tidak puny masa depan buat masyarakat rengsa.

Soalnya, apakah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sudah hilang akal apabila menyifatkan mereka ini “unik?”

Menteri Belia dan Sukan ini mencuri perhatian selepas terpampang foto di Instagram miliknya, dia sedang membonceng kapcai bersama sekumpulan mat motor dengan berlatar Menara Berkembang Petronas pada sambutan malam Tahun Baru 2019.

Usaha mendekati belia-belia Malaysia, menurut ahli politik berusia 26 tahun ini, sebenarnya merupakan salah satu azam baru tahun barunya.

Daripada mat motor ke penjual burger, selain remaja dengan basikal lajak mereka, didekatinya pada malam itu.

“Bukan merempit saja-saja,” katanya, memberi penjelasan semasa imbas semula malam berkenaan di dalam satu posting. “Tapi berjumpa, mendekati dan bertukar pendapat dengan belia di sekitar Kuala Lumpur di malam tahun baru.”

Di dalam satu posting terdahulu, jelasnya: “Saya turun padang untuk mendengar sendiri keluhan, pandangan dan paling penting melihat sendiri kehidupan belia Malaysia.”

Beliau yang juga Ahli Parlimen Muar, berkata: “Saya dapat simpulkan, kita tidak patut cepat menghukum dengan melabel kumpulan belia yang unik ini. Terma ‘belia berisiko’ tidak boleh dipakai sesuka hati hanya kerana mereka lain dari kita.”

Kegusaran masyarakat ada sandarannya, terutama berhubung fenomena basikal lajak ini yang dikaitkan dengan perbuatan menunggang secara berbahaya seperti tragedi 18 Februari 2017, di mana lapan penunggang berusia antara 13 dan 17 tahun maut selepas dirempuh sebuah kereta pada jam 3 pagi di Johor Bahru. Kejadian sama turut menyaksikan lapan lain cedera, dua daripadanya kritikal, ketika itu.

Permainan basikal lajak juga membabitkan pengubahsuaian pada loceng, selain  brek yang biasanya ditiadakan.

“Mereka ini sangat inovatif,” kata Syed Saddiq, cuba melihat daripada sudut berbeda. “Adik-adik basikal lajak ini ‘potong’ basikal mereka sendiri. Boleh baiki basikal ketika itu juga,  dan sentiasa mencari-cari untuk menambah baik basikal mereka.

“Saya juga berjumpa sekumpulan remaja yang berniaga menjual burger dan mereka ini mula berniaga pada usia yang sangat muda. Sifat keusahawanan ini harus mendapat pujian.”

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Pemuda Armada Bersatu, mahu memanfaatkan kedudukannya untuk membantu golongan berkenaan sedaya upayanya.

“Semua belia adalah belia dan tidak sepatutnya ada pengkelasan yang negatif terhadap belia kita,” katanya lagi.    Tekad beliau, program seumpama itu tidak akan berhenti setakat itu saja, malah dia akan memastikan ianya menjadi program berkala yang akan dilaksanakan bersama kementeriannya.