“2019 perlu pedas”, kata Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan kala memperkenalkan menu Nasi Goreng Agak Pedas NGAP di Twitternya, @ahmadmaslan pada 6 Januari lalu sebagai pembuka tahun baharunya.

Lucu dalam sindiran, bekas Timbalan Menteri daripada blok pembangkang ini nyata mencuit hati netizen yang sebelum ini dijamu dengan Nasi Goreng Petai sebagai penutup 2018 sehingga ada yang menjolokinya, “King of Nasi Goreng.”

Badut politik atau apa saja gelaran yang mungkin dicop pada Ahmad Maslan lantaran kenyataannya yang sering menimbulkan kontroversi, malah ada dianggap kurang bijak, apa yang jelas 2019 bukanlah tahun bulan madu buat kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad ini.

Pilihanraya Umum Mei tahun lalu, menyaksikan berakhirnya 60 tahun pemerintahan Barisan Nasional (BN) dengan separuh baki 2018 melihat beberapa bekas pemimpinnya berdepan pelbagai tuduhan salah laku, termasuk rasuah dengan kes, daripada 1MDB membabitkan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ke skandal kewangan Tabung Haji, antaranya.

Soalnya, terlalu banyak hal politik nyata memualkan rakyat yang mengharapkan perekonomian diberi keutamaan.

Ia selari pandangan pakar ekonomi yang menggariskan soal pembayaran balik RM35 bilion untuk cukai pendapatan dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), selain  perolehan cukai ekoran pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dalam keadaan pertumbuhan ekonomi yang lembab dijangka menjadi cabaran utama kerajaan pada 2019 ini.

PH dilihat memulai 2019, antaranya dengan pengumuman bagi penurunan harga bahan bakar melalui penyelarasan semula harga runcit produk petroleum secara mingguan, iaitu setiap Jumaat, mengikut kaedah apungan terkawal di bawah formula Automatic  Pricing Mechanism (APM), sebagaimana diluluskan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Januari lalu.

Penurunan itu, sepertimana diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, sejajar trend penurunan harga minyak di pasar dunia pada masa ini.

Kata Tun Dr Mahathir dalam satu kenyataan awalnya, harga ditentukan adalah mengambil kira kepentingan pembeli yang kemudian menyaksikan penetapan RM1.93 seliter bagi RON95 berbanding RM2.20, sebelum ini. RON97 ditetapkan pada RM2.23 seliter berbanding RM2.50, sebelum ini manakala diesel pada RM2.04 seliter berbanding RM2.18. Kadar sah antara 5 hingga 11 Januari ini.

Penetapan harga runcit minyak dan diesel itu, kata Guan Eng pula, adalah berdasarkan formula menang-menang yang dijamin memberi manfaat kepada rakyat, termasuk menghadkan harga pada RM2.20 seliter untuk RON95 dan diesel, RM2.18 seliter supaya rakyat tidak terkesan dengan kenaikan harga minyak di masa akan datang.

Di tengah malam Tahun Baharu, kerajaan juga memansuhkan tol motosikal di tiga laluan iaitu di Jambatan Pertama dan Kedua, Pulau Pinang serta Lebuhraya Laluan Kedua, Johor, dengan implikasi kewangan bernilai kira-kira RM20 juta setahun, sesuai pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 November lalu.

Pelaksanakan itu, jelas Guan Eng, adalah sebagai langkah permulaan ke arah pemansuhan sepenuhnya tol di negara ini.

Paling menggembirakan, tentunya kalangan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 fasa pertama yang akan dibayar pada 28 Januari ini, membabitkan jumlah RM300 bagi setiap isi rumah. Pelaksanaan BSH dijangka memanfaatkan sehingga 4.1 juta isi rumah, membabitkan peruntukan berjumlah RM1.2 bilion.

Permulaan 2019 yang memberi harapan, mungkin?

Perdana Menteri, menerusi ucapan Tahun Baharunya, menitipkan “agar segala kejayaan dan kegagalan dijadikan pengajaran”, seraya mengharapkan kehadiran 2019 “memberi makna yang besar kepada kita semua dan memberi ktia dorongan untuk terus mencapai kejayaan yang lebih tinggi.”

Jadi, apa resolusi anda pada 2019 ini?

Sama ada anda perokok atau bukan, setidak-tidaknya 2019 mungkin menyaksikan carta kesihatan rakyat Malaysia lebih baik berikutan kempen larangan merokok yang meluas oleh Kementerian Kesihatan, meliputi premis makanan hatta di kedai mamak, sekaligus membolehkan resolusi popular untuk berhenti merokok jadi satu kenyataan.     Dan pesanan buat pemimpin: Move on dari politiking!