DIA buat lagi!

Mohamad Ridzuan Puzi bukan hanya pecahkan rekod, tetapi atlet paralimpik negara itu cipta sejarah selaku atlet pertama Malaysia yang bakal dinobatkan sebagai Atlet Para (Lelaki) Terbaik Asia 2018, Februari ini.

Ikut bangga, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menerusi Twitter rasminya @chedetofficial, menulis: “Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada atlet paralimpik negara Mohamad Ridzuan Puzi di atas pencapaian terbaik beliau. Ini suatu kejayaan besar yang pasti membanggakan negara. Malaysia Boleh! #kami luarbiasa.”

Berikut, 10 fakta yang anda perlu tahu mengenai Mohamad Ridzuan:

  • Dilahirkan di Padang Besar, Perlis dan kini berusia 31 tahun.
  • Dia yang membahasakan dirinya, Dik Wan, merupakan anak kedua daripada tiga beradik.
  • Bapa, Mohamad Puzi Mohamad Mat Isa adalah seorang pemandu dan ibu, Laila Ali, seorang surirumah.
  • Atlet pertama Malaysia yang dianugerahi Atlet Para (Lelaki) Terbaik Asia 2018 ini disahkan menghidap celebral palsy sejak berusia setahun.
  • Penganugerahan akan disampaikan oleh Jawatankuasa Paralimpik Asia (APC) di Dubai, Emeriyah Arab Bersatu (UAE) kepada atlet itu pada 5 Februari ini.
  • Dia melakar sejarah apabila mencipta rekod dunia dalam acara 100m lelaki T36 (cerebral palsy) dan rekod Sukan Asia bagi acara lompat jauh pada temasya Sukan Para Asia di Jakarta, Oktober tahun lalu.
  • Catatan terbaik dilakukannya dalam acara 100m dengan masa 11.87s, sekaligus memadam rekod dunia 11.90s milik atlet Rusia, Evgenii Shvetcov yang dilakukan pada Kejohanan Paralimpik Dunia IPC di Lyon, Perancis pada 2013.
  • Dia juga memecah rekod Sukan Asia acara lompat jauh dengan catatan terbaiknya 5.59m, memadam rekod 5.45m yang dibuat atlet China, Yang Yi Fei pada 2016.
  • Kemenangan paling diingatinya ialah ketika meraih emas di Sukan Para Asian 2011 di Surakarta, Indonesia.
  • Pada Sukan Paralimpik Rio 2016 di Brazil, dia memecah rekod menerusi  acara 100m T36 dengan catatan masa 12.07s, mengatasi rekod dipegang atlet Ukraine, Roman Paylyk yang mencatat 12.25s di Sukan Paralimpik Beijing 2018.